Penyakit bawaan banjir

Penyakit bawaan banjir

asmaini@mediaprima.com.my

BENCANA banjir membawa risiko tinggi terhadap penularan pelbagai penyakit berjangkit yang merbahaya kepada kesihatan masyarakat.

Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata, antara penyakit berjangkit yang sering berlaku ketika banjir adalah leptospirosis, melioidosis dan demam kepialu.

Leptospirosis ialah sejenis penyakit zoonosis (penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia) disebabkan bakteria yang ada dalam air kencing tikus.

Katanya, orang ramai berisiko boleh dijangkiti leptospirosis jika terdedah kepada air yang tercemar.

“Penyakit melioidosis pula disebabkan kuman dalam tanah yang terdedah akibat banjir.

“Kuman berkenaan boleh masuk dalam tubuh melalui luka atau dengan meminum air yang tercemar.

“Selain itu, demam kepialu juga boleh berlaku ketika banjir dan penyakit ini berpunca daripada pembuangan najis yang tidak terurus, ia boleh merebak melalui air tercemar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Yazli berkata, antara gejala awal mungkin dialami individu yang terdedah kepada kuman berkenaan termasuk demam berpanjangan selama dua hingga tiga hari, cirit-birit, menggigil dan kesukaran bernafas terutama bagi mereka yang terdedah kepada leptospirosis atau melioidosis serta sakit perut dan muntah.

Sebagai pencegahan menghadapi risiko penyakit itu, Dr Muhamad Yazli menekankan beberapa kaedah yang perlu diambil.

Antaranya, elakkan pendedahan dan jika kawasan tempat tinggal berisiko mengalami banjir, lakukan persediaan awal bagi mengelakkan daripada terdedah kepada air banjir.

Selain itu, pastikan membersih diri dengan teliti selepas terdedah kepada air banjir termasuk mencuci tangan dan menjaga kebersihan tubuh dengan bersih.

Dalam pada itu, pastikan sebarang luka tidak terdedah dan dibalut dengan baik sebelum terkena air banjir.

“Untuk mengurangkan risiko lain, ibu bapa juga perlu memastikan persekitaran rumah dalam keadaan bersih dan selamat.

“Jika mempunyai anak kecil, pastikan mereka tidak bermain di kawasan air banjir.

“Ini kerana kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan dan langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Apa pun, penting bagi semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan melaksanakan pencegahan yang berkesan selepas banjir.

Dengan kesedaran dan tindakan yang betul, risiko penularan penyakit bawaan air dapat dikurangkan, sekali gus melindungi kesihatan masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top