Penuntut UiTM cedera dipercayai dipukul 3 rakan asrama

Penuntut UiTM cedera dipercayai dipukul 3 rakan asrama

am@hmetro.com.my

Parit: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, di sini cedera dipercayai akibat dipukul tiga rakannya di asrama, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, mangsa lelaki berusia 18 tahun yang cedera di muka, tangan dan perut sudah mendapat rawatan dan kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, pihaknya bertindak menahan tiga suspek lelaki berusia 18 hingga 20 tahun, selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada 6.45 petang, Selasa lalu.

“Semua suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, mereka dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

“Berdasarkan siasatan, motif kejadian pukul berlaku kerana perselisihan faham dan provokasi antara mangsa dan suspek di dalam bilik asrama,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top