Penuntut tipu NGO akan didakwa

Penuntut tipu NGO akan didakwa

am@hmetro.com.my

Jitra: Penuntut sebuah universiti di sini yang baru dibebaskan dengan jaminan polis kerana menipu sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), dijangka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Penuntut berusia 23 tahun itu bakal didakwa atas kesalahan menipu NGO Cancer Survivors Malaysia (CSM) kononnya mengumpul dana bagi membayar yuran pengajian di universiti terbabit namun didapati menyalah guna dana berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, setakat ini siasatan dilakukan secara menyeluruh.

Beliau berkata, suspek dijangka berdepan pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret Jitra tidak lama lagi.

“Setakat ini hanya satu laporan polis dibuat di Kubang Pasu membabitkan suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, CSM membuat laporan polis mendakwa ditipu penuntut lelaki sebuah universiti di utara negeri ini kononnya dia memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top