Penuntut IPG maut, nahas 5 kenderaan di Merapoh selepas pulang lawatan di Indonesia

Penuntut IPG maut, nahas 5 kenderaan di Merapoh selepas pulang lawatan di Indonesia

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Kegembiraan sekumpulan penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu yang pulang dari lawatan di Indonesia berakhir dengan tragedi apabila terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Merapoh, di sini, hari ini.

Kumpulan 12 penuntut itu menaiki empat kenderaan iaitu dua Perodua Axia, dan masing-masing sebuah Proton X50 dan Proton Saga dikatakan dalam perjalanan pulang ke IPG berkenaan.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, penuntut wanita, Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, yang menaiki Proton X50 maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi rakannya cedera.

Kenderaan yang dinaiki mangsa bersama rakan-rakannya dikatakan dirempuh sebuah treler ketika berhenti di dibahu jalan kerana sebuah daripada kenderaan mengalami kerosakan tayar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.13 pagi dan lapan anggota dengan dua jentera dikejar ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan iaitu dua Perodua Axia, dan masing-masing sebuah Proton X50 serta Proton Saga.

“Terdapat empat mangsa dalam Proton X50 yang mana seorang daripadanya maut akibat tersepit, manakala seorang mangsa dari Perodua Axia parah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian kemalangan.

Sementara ibu mangsa, Azizah Harun, 63, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu dalam perjalanan pulang ke IPG selepas lawatan ke Indonesia bersama pensyarah dan rakan-rakannya.

Katanya, arwah sempat berbalas WhatsApp dengan ayahnya, Mohd Mawardzi Akhir, 65, jam 6.29 pagi yang bertanyakan lokasinya.

“Dalam pesanan itu, arwah kata baru masuk Gua Musang, dan itu adalah pesanan terakhir arwah yang kami terima.

“Namun pada, 7.58 pagi kami menerima panggil daripada rakan arwah mengenai kejadian dan bergegas ke Hospital Gua Musang,” katanya dalam nada sebak.

Menurut Azizah, arwah sepatutnya menduduki peperiksaan akhir pada esok, sebelum menghabiskan cuti di rumah keluarga di Bukit Panau, Tanah Merah.

“Arwah seorang anak yang sangat baik dan dia adalah hafizah yang sudah menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top