am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Kegiatan jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut ketika musim perayaan menunjukkan trend peningkatan yang tinggi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, negara berpotensi mengalami kerugian jutaan ringgit akibat tindakan individu atau kumpulan yang melakukan jenayah terbabit.
“Kumpulan ini memang tunggu (peluang) musim perayaan bagi melakukan aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut.
“Paten’ musim perayaan adalah pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggi, ada juga jenayah penyeludupan migran.
“Itu ‘paten’ yang sangat jelas sebab musim perayaan mereka hendak balik kampung…. hendak balik ikut pintu biasa tiada dokumen.
“Terang-terang mereka melanggar undang-undang di negara kita.. jadi mereka memilih jalan laut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Op Khas Pagar Laut 2025 di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di jeti Pusat Hidrografi Nasional di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Saifuddin berkata, menerusi Op Khas Pagar Laut ini kerajaan berjaya mengesan dan mengenalpasti modus operandi penjenayah musim perayaan.
“Selain penyeludupan Pati terdapat juga penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak, gas, diesel dan petrol.
“Terdapat juga penyeludupan dadah seperti kes besar pernah dikesan di Pulau Pinang tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Op Khas Pagar Laut ini digerakkan di seluruh perairan negara bertujuan mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan, khususnya di kawasan ‘hotspot’ pada Ramadan dan Syawal.
“Op ini akan berlangsung sehingga 1 Syawal dan diteruskan lagi selama dua minggu selepas itu, menjadikan ia merangkumi empat fasa utama iaitu pengumpulan maklumat, penguatkuasaan sebelum perayaan, penguatkuasaan selepas perayaan dan penilaian operasi.
“Operasi ini amat penting bagi memastikan keselamatan negara serta mengelakkan kerugian berjuta-juta ringgit akibat jenayah rentas sempadan.
“Sepanjang lima tahun pelaksanaannya (2020-2024), sebanyak 251 kes berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan hampir RM110 juta,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu termasuk tangkapan tertinggi mengikut negeri iaitu Sabah sebanyak 69 kes, Perak sebanyak 57 kes dan Johor sebanyka 31 kes.
“Kesalahan utama yang dikesan membabitkan Akta Perikanan 1985-185 kes (pencerobohan nelayan asing dan penangkapan ikan secara haram).
“Akta Imigresen membabitkan 95 kes (penyeludupan manusia, pendatang tanpa izin, penyalahgunaan pas kerja).
“Ordinan Perkapalan Saudagar -40 kes (kesalahan berkaitan aktiviti perkapalan seperti berlabuh tanpa kebenaran dan pemindahan kargo dari kapal ke kapal),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd