SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menetapkan waktu pulang bagi kakitangan awam kerajaan negeri sepanjang bulan Ramadan bermula pukul 4 hingga 5.30 petang bergantung kepada tempoh sembilan jam bekerja.
Oleh demikian, waktu rehat dipendekkan 30 minit iaitu bermula pukul 1 hingga 1.30 tengah hari pada Isnin hingga Khamis, bagi Jumaat pula waktu rehat kekal bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 12.30 petang.
Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, sementara waktu masuk bekerja pula antara pukul 7.30 hingga 9 pagi seperti mana Ceraian SR.4.1.1. Perkeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) di Agensi Kerajaan Persekutuan.
“Selaras dengan pemakaian ceraian tersebut, kerajaan negeri memberi fleksibiliti kepada kakitangan di bawah pentadbiran ini dengan mengurangkan waktu rehat selama 30 minit bagi membenarkan kakitangan meninggalkan pejabat 30 minit lebih awal.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan WBF tidak akan menjejaskan operasi kaunter perkhidmatan di semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Waktu operasi kaunter kekal seperti biasa bagi memastikan kelancaran tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan WBF juga sebagai langkah menjaga kebajikan penjawat awam agar dapat menjalankan tugas dengan lebih selesa dan seimbang sepanjang tempoh berpuasa.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam terpelihara tanpa menjejaskan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan, selaras dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN