Penipuan pelaburan mesin layan diri, 54 mangsa rugi RM5.2 juta

Penipuan pelaburan mesin layan diri, 54 mangsa rugi RM5.2 juta

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 50 individu mendakwa kerugian sekurang-kurangnya RM5.2 juta selepas melabur dalam skim pelaburan mesin layan diri yang dipercayai palsu, didalangi sebuah syarikat berpangkalan di Johor.

Meskipun banyak laporan dibuat, syarikat yang dikatakan mempunyai beberapa cawangan di seluruh negara itu masih aktif mempromosikan skim berkenaan di media sosial, menjanjikan pulangan lumayan tanpa bukti kewujudan mesin yang dijanjikan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini, 54 mangsa tampil membuat aduan kepada pihaknya selepas buntu berikutan kebanyakan laporan dibuat diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atau rujuk agensi lain (ROA).

Menurutnya, ada dalam kalangan mangsa yang melaburkan sehingga RM450,000 kononnya untuk mendapatkan 15 unit mesin layan diri yang menjual produk makanan yang dipercayai tidak wujud.

“Mereka (mangsa) dijanjikan pulangan dalam jumlah tetap setiap bulan berdasarkan pakej yang dilaburkan, malangnya mereka gagal menerima pulangan berkenaan, malah mesin layan diri yang dijanjikan juga tidak kelihatan.

“Syarikat ini menawarkan tiga pakej iaitu pakej A bernilai RM30,000 yang menjanjikan pulangan tetap RM1,400 sebulan dan pakej B bernilai RM25,000 dengan keuntungan RM1,000.

“Pihak syarikat tidak memberitahu lokasi mesin, deskripsi mesin, nombor siri mesin, malah lebih menghairankan ada pakej C di mana pelabur boleh melabur serendah RM1,000 dan menerima keuntungan tetap empat peratus sebulan,” katanya pada sidang media bersama beberapa mangsa di sini, hari ini.

Mangsa, Prima, 60, berkata, dia menemukan iklan pelaburan berkenaan di media sosial lalu menghubungi ejen syarikat berkenaan dan diajak bertemu di pejabat urusan syarikat itu di Seri Kembangan, Selangor, pada Disember 2023.

Warga emas itu berkata, dia dan suaminya melaburkan RM80,000 wang persaraan mereka selepas percaya bahawa pelaburan berkenaan mampu memberi keuntungan tetap setiap bulan.

“Saya pergi ke pejabat berkenaan dan diberitahu skim pelaburan ini mendapat kelulusan pihak kerajaan serta mempunyai cap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), menyebabkan saya yakin.

“Pada mulanya, saya melabur RM50,000 dan menerima pulangan selama beberapa bulan, membuatkan saya lebih yakin serta meminta suami turut melabur RM30,000.

“Kami mengeluarkan semua wang simpanan termasuk duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kerana percaya pelaburan ini boleh membantu kami,” katanya.

Wanita itu yang juga bekas pekerja pembersihan berkata, hajat mereka untuk mengaut keuntungan daripada pelaburan itu bagaimanapun lebur selepas hanya enam bulan menerima keuntungan sebelum tiada lagi pembayaran diterima.

Katanya, pelbagai alasan diberikan pihak syarikat ketika disoal berkenaan pembayaran keuntungan yang tertunggak, antaranya syarikat mempunyai masalah aliran tunai dan sedang menunggu suntikan modal.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, syarikat terbabit menawarkan keuntungan minimum RM1,300 dengan pembayaran keuntungan sudah mula dibuat walaupun sebelum mesin layan diri berkenaan tiba di Malaysia.

Katanya, semua mangsa mendakwa tidak pernah melihat mesin layan diri yang dijanjikan, malah setiap kali disoal, pihak syarikat atau ejen memberi alasan mesin masih di gudang di China.

“Program ini beli mesin, tetapi mesin tak dapat. Sehingga hari ini, dimaklumkan bahawa mesin ini masih berada di kilang, tetapi bayaran (keuntungan) dibuat setiap bulan. Saya tidak faham dari mana datangnya keuntungan.

“Ini mendatangkan kehairanan, adakah mesin itu mendatangkan keuntungan walaupun masih berada di kilang?

“Justeru, saya mohon polis khususnya membuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi menyiasat sekiranya ada unsur penipuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top