Peningkatan tarif import India, pemotongan levi eksport Indonesia perubahan biasa dalam perdagangan – Johari

Peningkatan tarif import India, pemotongan levi eksport Indonesia perubahan biasa dalam perdagangan – Johari

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan peningkatan tarif import di India dan pemotongan levi eksport oleh Indonesia adalah sebahagian daripada perubahan biasa dalam perdagangan minyak sawit global.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesannya ke atas daya saing minyak sawit Malaysia juga adalah sementara.

Katanya, berdasarkan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pada tempoh Januari hingga Oktober 2024, eksport minyak sawit ke India meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada 2.67 juta tan berbanding 2.29 juta tan direkodkan pada Januari hingga Oktober 2023 dalam keadaan duti import India dan levi eksport Indonesia yang meningkat.

“Strategi kementerian untuk jangka masa panjang sudah mengambil kira perubahan struktur cukai di negara pengimport dan juga negara pesaing tanpa memerlukan tindakan intervensi yang bersifat reaktif.

“Malaysia sentiasa kekal komited untuk memastikan industri sawit kita kekal berdaya saing melalui pelan jangka panjang yang kukuh, termasuk kerjasama perdagangan antarabangsa dan promosi produk yang lestari

seperti Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai langkah strategik jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani kesan drastik terhadap industri sawit Malaysia susulan kenaikan cukai import 32 peratus oleh India dan pemotongan kadar levi eksport oleh Indonesia.

Mengulas lanjut, Johari turut menjelaskan, cukai import yang dimaksudkan oleh Hamzah adalah duti import efektif dengan kadar itu dinaikkan kepada 27.50 peratus berbanding 5.5 peratus untuk minyak sawit mentah (MSM), manakala untuk minyak sawit terproses pula kepada 35.75 peratus berbanding 13.75 peratus.

“Duti import efektif adalah duti import asas yang mengambil kira cukai lain seperti Agricultural Infrastructure Development Cess dan juga Social Welfare Cess.

“Ia sebahagian daripada usaha India untuk melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.

“Namun begitu, berdasarkan pengalaman lalu, perubahan tarif ini biasanya bersifat sementara dan kesannya terhadap import minyak sawit Malaysia hanya dalam jangka pendek,” katanya.

Johari berkata, sebagai pengimport minyak sawit terbesar dunia dengan populasi seramai 1.45 bilion, India akan sentiasa memerlukan minyak sawit untuk memenuhi keperluan domestik negaranya.

Dalam pada itu, Johari berpandangan, perubahan kadar levi eksport oleh Indonesia turut memberi impak terhadap persaingan dalam pasaran global.

“Namun, Malaysia terus mengekalkan kedudukan dalam pasaran melalui pengeluaran dan eksport minyak sawit yang mampan dan berkualiti tinggi.

“Sebagai langkah jangka panjang, kementerian melalui agensinya iaitu MPOB akan terus memperkukuh daya saing industri melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penghasilan produk nilai tambah tinggi seperti bioplastik dan biofuel untuk pasaran global,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top