am@hmetro.com.my
Kulai : Berniaga bukan sekadar cari untung, tapi juga peluang untuk bersedekah di bulan Ramadan.
Prinsip itu diamalkan peniaga air, Rosida Liman, 51, dan suaminya, Md Adi Hamesa, 50, yang sudah lapan tahun mencari rezeki dengan menjual pelbagai jenis minuman di bazar Ramadan.
Katanya, pada dua tahun pertama berniaga, dia hanya menjual air berharga RM1 sebungkus.
“Kemudian saya jual RM2 sebungkus apabila harga gula meningkat dari RM2.50 ke RM2.85.
“Bulan puasa ini kalau boleh, saya nak semua orang dapat merasa air yang mereka inginkan.
“Ada peristiwa pelanggan datang bawa dua atau tiga orang anak, minta air berbeza jadi pelanggan ini tidak dapat beli lebih satu jenis air yang diminta oleh anaknya. Riak wajah anak terus berubah sedih, mungkin anak itu juga berpuasa.
“Saya jadi sebak sebab kita juga lahir dari keluarga susah dan pernah mengalami situasi itu semasa kecil,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Jalan Merbau di sini, semalam.
Menurut Rosida, tujuh jenis minuman akan dibancuh setiap hari untuk jualan.
Katanya tiga jenis air daripadanya iaitu teh bunga, cikong, dan cincau menjadi menu tetap, manakala selebihnya akan bertukar setiap hari.
“Jualan setakat ini alhamdulillah, tetapi kalau ada cabaran dari segi cuaca seperti hujan dan air banyak, saya akan lelong tiga bungkus RM5.
“Jika bukan bulan Ramadan kami berniaga nasi bajet di Bandar Putra, di sini dengan harga mampu milik untuk pelanggan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd