Pengurus syarikat rugi lebih RM150,000 akibat pelaburan tidak wujud

Pengurus syarikat rugi lebih RM150,000 akibat pelaburan tidak wujud

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang pengurus syarikat di Temerloh kerugian RM156,424 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 56 tahun itu ditawarkan dengan pelaburan daripada sebuah syarikat dikenali Clearbridgeleader.com melalui aplikasi WhatsApp pada September lalu.

Katanya, suspek menawarkan pelaburan iaitu pertukaran mata wang asing dengan pelaburan berjumlah RM10,000 yang akan mendapat pulangan sehingga 20 peratus pada setiap bulan.

“Terpedaya dengan keuntungan yang lumayan, mangsa melakukan 18 kali transaksi kepada empat akaun bank yang berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM156,424.73 bagi tempoh 24 September hingga 18 Disember lalu.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan RM7,000 untuk mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan itu.

“Siasatan mendapati sumber kewangan daripada simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai membuat semakan sebelum membuat sebarang pelaburan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top