Pengunduran MALBATT di Lubnan bergantung kepada UNIFIL

Pengunduran MALBATT di Lubnan bergantung kepada UNIFIL

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengunduran Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di selatan Lubnan bergantung kepada keputusan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu katanya, pengunduran itu juga perlu mendapat persetujuan bersama 50 negara yang terlibat menghantar pasukan pengaman di Lubnan.

“Ia bukannya tindakan unilateral kita bersendirian. Untuk makluman, tentera Indonesia yang cedera atas serangan Israel, Menteri Luar Indonesia membuat kenyataan pada 14 September (lalu), mereka akan terus bersama menjayakan pasukan pengaman di bawah UNIFIL.

“Walaupun cedera, keputusan pertama bukan untuk berundur atau menarik diri,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai adakah pasukan pengaman negara ini bersedia untuk melaksanakan misi evakuasi di Lubnan sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan pasukan pengaman UNIFIL perlu meninggalkan negara itu.

Ikmal Hisham turut bertanya adakah anggota MALBATT dibenarkan untuk membuat serangan tembakan balas sekiranya kedudukan mereka diserang oleh tentera Israel dan di kem milik Malaysia mempunyai dewan bedah atau pegawai perubatan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut menegaskan, pasukan MALBATT juga boleh membalas tembakan daripada tentera Israel bagi tujuan untuk pertahanan diri.

“Kalau untuk pertahanan diri, memang boleh untuk kita membalas tembakan dan sebagainya.

“Tetapi untuk kita lakukan serangan, maka itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab pasukan UNIFIL ini adalah sebagai pengaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan dewan bedah ada disediakan oleh UNIFIL di fasiliti mereka.

“Dalam soal menyediakan dewan bedah dan sebagainya, maka itu diambil tanggungjawab dan disediakan sendiri oleh UNIFIL. Ia terletak kira-kira satu jam daripada kem kita.

“Manakala di kem kita sendiri, kita ada kemudahan asas untuk merawat peringkat dua. Pada masa sama, kita telah mewujudkan kerjasama dengan hospital tempatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top