Istanbul: Penghantaran pertama rumah mudah alih bertolak dari Mesir pada Khamis menuju ke Semenanjung Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Israel, menurut media Mesir.
Lima trak yang membawa 15 rumah mudah alih dan sebuah jentolak melintasi bahagian Mesir di Pintu Sempadan Rafah menuju ke terminal Kerem Shalom (Karam Abu Salem) sebelum dibenarkan memasuki Gaza, menurut Anadolu Ajansi (AA) yang memetik saluran televisyen Mesir, Al-Qahera News.
Saluran itu menyiarkan rakaman yang menunjukkan trak membawa rumah mudah alih bergerak dari Pintu Sempadan Rafah ke arah terminal Kerem Shalom.
Bagaimanapun, tiada pengesahan segera daripada pihak berkuasa Palestin di Gaza, menurut laporan itu.
Selama beberapa minggu, Israel enggan membenarkan rumah mudah alih dihantar ke Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata bagi melindungi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dalam keadaan cuaca sejuk, sehingga pengantara campur tangan untuk menguatkuasakan perjanjian itu.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan berkuat kuasa bulan lepas, menghentikan sementara serangan Israel yang telah meragut lebih 48,300 nyawa rakyat Palestin meninggalkan enklaf itu dalam runtuhan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd