'Penghantar makanan' disyaki curi tabung masjid RM3,000

'Penghantar makanan' disyaki curi tabung masjid RM3,000

rnoraina@hmetro.com.my

Subang: Seorang ‘penghantar makanan’ disyaki mencuri wang berjumlah kira-kira RM3,000 daripada dua tabung di Masjid An-Nur, USJ 4 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menerima laporan kejadian oleh setiausaha masjid pada 9.30 malam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku 11.40 pagi hari sama.

“Seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dan memakai topi keledar serta menggalas beg penghantaran dilihat memasuki masjid.

“Suspek kemudian mengumpil dua tabung masing-masing tabung pembangunan dan utiliti yang diletakkan di pekarangan pintu masuk masjid dengan menggunakan besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.

© New Straits Times Press (M) Bhd