Penggunaan kamera badan kurangkan aduan terhadap anggota Kastam

Penggunaan kamera badan kurangkan aduan terhadap anggota Kastam

KUALA LUMPUR: Terdapat penurunan aduan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak penggunaan kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) bermula Oktober tahun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, data menunjukkan penurunan kes kepada lima aduan terhadap pegawai JKDM.

Kata beliau, BWC adalah satu peranti kamera yang diguna di badan anggota semasa menjalankan tugas.

“BWC boleh menjadi ‘fear factor’ supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku dalam kalangan pegawai yang menggunakannya serta individu berurusan dengan pasukan operasi jabatan.

“Hal ini kerana rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem kamera yang dicipta untuk digunakan oleh pegawai JKDM di lapangan khususnya Bahagian Perkastaman dan Bahagian Penguatkuasaan bagi merakam bukti dalam bentuk digital.

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) Siri 10 Bilangan 5/2019, JKDM diarahkan untuk menggunakan BWC dalam tugasan harian.

“Ini bertujuan bagi menambah baik tahap integriti pegawai-pegawai di JKDM serta meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara melalui pencegahan aktiviti penyeludupan,” jelasnya.

Anis berkata, peralatan itu akan digunakan oleh pegawai terutama di Bahagian Perkastaman yang bertugas sebagai pegawai di barisan hadapan di pintu masuk utama negara dan pegawai di Bahagian Penguatkuasaan yang menjalankan operasi.

“JKDM sentiasa menyahut seruan kerajaan Malaysia MADANI iaitu setiap Kementerian dan Jabatan harus mempertingkatkan tatakelola melalui penggunaan pendigitalan dan Artificial Intelligence (AI).

“Justeru itu, JKDM akan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini serta berdiri setanding dengan peredaran digital semasa,” katanya. –UTUSAN