Pengguna kecewa aplikasi janji temu Salams dibeli syarikat pro-Israel

Pengguna kecewa aplikasi janji temu Salams dibeli syarikat pro-Israel

LONDON: Aplikasi temu janji Muslim, Salams menjadi tumpuan kontroversi selepas dijual secara rahsia kepada Match Group yang juga syarikat induk Tinder, Hinge, dan OKCupid yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Perjanjian itu selesai pada Oktober 2023, tetapi hanya didedahkan dalam laporan pendapatan Februari 2024 tanpa sebarang pengumuman rasmi atau makluman kepada 7.5 juta pengguna Salams.

Kemarahan pengguna semakin memuncak selepas Spencer Rascoff dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Match Group bulan lalu.

Rascoff pernah menyatakan sokongan terbuka kepada tentera pendudukan Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Bangga menyokong kempen pengasas Ohana, Jacob Ian Halbert dan Ezra Gershanok, untuk membantu membiayai bil askar Israel yang berperang di luar negara,” tulisnya dalam satu catatan media sosial yang telah dipadam.

Catatan itu turut menyediakan pautan dana kutipan bagi rakyat Israel di AS yang menyertai tentera pendudukan dalam perang terhadap Palestin.

Penyertaan Rascoff dalam lembaga pengarah Palantir, syarikat pengintipan yang dikaitkan dengan konflik Israel turut menambah kebimbangan terutama dalam komuniti Muslim yang berang dengan tragedi kemanusiaan di Gaza, di mana lebih 50,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023.

Pengguna Muslim di platform seperti Reddit dan X menyeru boikot terhadap Salams dan menuduh kepimpinan baharu aplikasi itu terlibat dalam genosid Gaza.

“Kamu tak malukah? Jual jiwa kepada Zionis,” tulis seorang pengguna.

Shahzad Younas, CEO aplikasi saingan Muzz, mengkritik pengambilalihan itu dan bersyukur kerana telah menolak tawaran Match Group untuk membeli Muzz.

“Saya bersyukur kami menolak tawaran Match Group untuk membeli Muzz. Saya rasa seperti menjual maruah,” katanya.

Setakat ini, Match Group belum memberi respon terhadap kritikan yang semakin meningkat. Pengasas Salams juga masih berdiam diri, manakala kebimbangan terus memuncak mengenai ketelusan, kepimpinan beretika, dan monopoli platform berasaskan agama.

Reaksi komuniti Islam global dijangka terus panas, terutamanya jika tiada penjelasan atau tindakan diambil oleh syarikat tersebut.-AGENSI

Scroll to Top