Pengedar syabu dicekup di R&R Genting Sempah

Pengedar syabu dicekup di R&R Genting Sempah

BENTONG – Seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket pengedar dadah ditahan di  kawasan parkir Hentian Rehat & Rawat (R&R) di Genting Sempah, di sini, dalam serbuan pada 18 Julai lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 34 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah manakala ujian saringan awal mendapati suspek adalah negatif dadah.

“Hasil daripada pemeriksaan di dalam kereta jenis Honda Jazz yang dipandu suspek, JSJN telah berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM 697,717 dalam serbuan jam 12.20 tengah hari.

“Sebanyak 20 paket paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 21,143 gram telah dirampas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Difahamkan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 42,286 orang.

Menurut Yahaya, modus operandi sindiket itu menggunakan transaksi jualan secara tunai dan dijual untuk pasaran tempatan kepada pembekal

”Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2024 dan dipercayai memperolehi bekalan dadah jenis syabu di Gombak, Selangor untuk diedarkan di pasaran tempatan,” tambahnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Jelas beliau, lelaki berkenaan telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette