Pengawal keselamatan dirempuh ketika leraikan pergaduhan, suspek ditahan

Pengawal keselamatan dirempuh ketika leraikan pergaduhan, suspek ditahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai melanggar seorang pengawal keselamatan dengan kereta ketika insiden pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Bandar Botanik, Klang, Ahad lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar 2.30 pagi itu turut menyaksikan beberapa pengawal keselamatan dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan antara pelanggan pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata suspek berusia 43 tahun itu ditahan pada 3.30 petang, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Balai Polis Klang melaporkan beberapa video yang memaparkan pergaduhan itu di media sosial, awal pagi hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian pergaduhan berlaku 2.30 pagi, Ahad lalu, membabitkan pelanggan pusat hiburan itu, beberapa pengawal yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul pelanggan yang bergaduh.

“Pada masa itu, seorang suspek bertindak di luar kawalan dengan melanggar seorang pengawal keselamatan dengan kereta Honda City berwarna kelabu.

“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan mengalami kecederaan patah tulang pinggul kanan serta luka di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan satu rekod dadah.

Katanya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/148 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top