Pengawal keselamatan didakwa curi sardin, makanan kucing, deodoran

Pengawal keselamatan didakwa curi sardin, makanan kucing, deodoran

SEREMBAN: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan di sebuah pasar raya di Seremban 2 di sini Ahad lalu.

Tertuduh, Abdul Wafiy Manap, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan mencuri termasuk sebanyak 20 tin sardin, dua deodoran, minyak wangi, makanan kucing dan plastik sampah dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak RM270.79 milik sebuah pasar raya

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.08 petang di pasar raya di Seremban 2, pada 13 Oktober lalu. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R. Kanapathy.

Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 19 November ini.-UTUSAN.

Scroll to Top