Pengatur cara komputer pilih tidur dalam kereta 4 tahun

Pengatur cara komputer pilih tidur dalam kereta 4 tahun

SHENZHEN – Seorang pengatur cara komputer di China menarik perhatian ramai selepas mendedahkan bahawa beliau memilih untuk tinggal dalam kereta selama empat tahun, meskipun memiliki sebuah rumah empat tingkat yang luas di kampung halamannya.

Zhang Yunlai, 41, berasal dari Yangjiang di wilayah Guangdong, selatan China, berhijrah ke Shenzhen enam tahun lalu untuk bekerja.

Pada awalnya, beliau menyewa sebuah rumah pangsa dengan kadar sewa sekitar 2,500 yuan (RM1,660) sebulan.

Namun, selepas mengalami kehidupan berkhemah di taman, Zhang mendapati hidup di luar rumah lebih bebas dan selesa.

Sejak itu, beliau mengambil keputusan drastik untuk tinggal di dalam kereta miliknya, iaitu sebuah kereta elektrik yang dibeli empat tahun lalu.

“Kereta elektrik membolehkan saya menggunakan penghawa dingin dan memuatkan tilam di bahagian belakang. Tidur di dalamnya sebenarnya sangat selesa,” katanya kepada media tempatan.

Zhang memeriksa tilam angin yang diletakkan dalam but kereta. Foto Agensi

Zhang memeriksa tilam angin yang diletakkan dalam but kereta. Foto Agensi

Zhang menghabiskan hari bekerja dengan tidur dalam kereta, makan di kafeteria tempat kerja, mandi di gimnasium, dan mengecas kenderaan di stesen pengecasan berdekatan.

Beliau hanya perlu mencari lokasi sunyi di taman awam untuk meletakkan kereta dan menghamparkan tilam untuk tidur.

Beliau turut menyifatkan tandas awam di taman sebagai ‘bertaraf lima bintang’ dan hanya mencuci pakaian semasa pulang ke kampung pada hujung minggu.

Perbelanjaan hariannya, termasuk makan dan kos lain, hanya sekitar 100 yuan (RM66) sehari. Tambahan pula, kos letak kereta sangat rendah – hanya sekitar 6 yuan (RM4) semalam di taman dan 20 yuan (RM13) sehari di tempat kerja.

Dalam tempoh tiga tahun, gaya hidup ini telah membolehkan Zhang menjimatkan sehingga 100,000 yuan (RM66,000).

Zhang menegaskan bahawa keputusan tersebut bukanlah kerana tekanan kewangan, tetapi kerana minatnya terhadap gaya hidup bebas dan ringkas.

“Kalau orang tawarkan rumah percuma pun, saya tetap tak mahu. Suasana di taman jauh lebih tenang berbanding flat biasa,” katanya.

Zhang memiliki sebuah rumah besar seluas 400 meter persegi di kampung halamannya.

Sebelum berpindah ke Shenzhen, beliau bekerja dari rumah dengan pendapatan melebihi 10,000 yuan (RM6,600) sebulan.

Kini sebagai programmer di Shenzhen, beliau memperoleh pendapatan puluhan ribu yuan setiap bulan, dan tetap memandu sejauh 300 kilometer setiap minggu untuk pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya merancang untuk bekerja beberapa tahun lagi sebelum pulang sepenuhnya ke kampung,” ujarnya.

Scroll to Top