Pengasas rangkaian fesyen Mango maut jatuh tebing di Sepanyol

Pengasas rangkaian fesyen Mango maut jatuh tebing di Sepanyol
Pengasas rangkaian fesyen Mango maut jatuh tebing di Sepanyol

Isak Andic, pengasas rangkaian fesyen global Mango, meninggal dunia pada Sabtu selepas terjatuh dari tebing di timur laut Sepanyol.

KUALA LUMPUR – Isak Andic, pengasas rangkaian fesyen global Mango, meninggal dunia pada Sabtu selepas terjatuh dari tebing di timur laut Sepanyol, menurut pengumuman syarikat itu, lapor Xinhua.

Jutawan berusia 71 tahun itu dilaporkan tergelincir dan jatuh sejauh 150 meter semasa berjalan bersama isteri dan anak lelakinya di gua Salitre de Collbato, berhampiran Barcelona, sekitar 1 tengah hari waktu tempatan (1200 GMT).

“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian mengejut Isak Andic, pengerusi bukan eksekutif dan pengasas Mango yang tidak dijangka, akibat kemalangan yang berlaku pada Sabtu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mango Toni Ruiz, dalam satu kenyataan.

Ruiz memuji dedikasi sepanjang hayat Andic terhadap Mango, sambil menyatakan pemergiannya meninggalkan ‘kehilangan yang sangat besar’.

Dilahirkan di Istanbul, Andic berhijrah ke Sepanyol dari Turkiye pada usia 13 tahun.

Beliau memulakan kerjaya dengan menjual baju-T kepada rakan sekelas sebelum membuka kedai Mango pertama di Barcelona pada 1984.

Menurut Forbes, Andic memiliki nilai kekayaan bersih dianggarkan berjumlah AUS$4.5 bilion pada saat kematiannya.

Mango, yang beroperasi di lebih 120 negara, mencatatkan perolehan sebanyak AUS$3.26 bilion pada 2023. – Bernama

Scroll to Top