Pengarah syarikat wanita rugi RM1.3 juta terpedaya ‘love scam’

Pengarah syarikat wanita rugi RM1.3 juta terpedaya ‘love scam’

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang juga pengarah sebuah syarikat berkerugian RM1.3 juta selepas terpedaya dengan ‘love scam’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita itu telah berkenalan dengan seorang lelaki warga Singapura yang dikatakan menetap di United Kingdom melalui Facebook.

Dalam perkenalan mereka, mangsa dimaklumkan lelaki itu akan datang ke Malaysia untuk mendapatkan projek Petronas dan mahu berjumpa mangsa.

“Bagi mendapatkan projek Petronas itu, lelaki tersebut meminta pengadu meminjamkan sejumlah besar wang modal dengan jaminan ia akan dipulangkan semula.

“Percaya dengan janji yang diberikan, pengadu telah membuat 11 pindahan wang di dua akaun bank dengan nilai keseluruhan wang sebanyak RM1,256,000.00,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, pengadu hanya menyedari dirinya telah ditipu oleh suspek setelah mangsa menceritakan hal tersebut kepada rakannya sebelum melaporkan segera kepada polis untuk tindakan segera.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sejumlah 792 kes penipuan love scam telah dicatatkan pada 2022 membabitkan nilai kerugian berjumlah RM56,273,793.56 menakala pada tahun lepas (2023) angka kes ini meningkat kepada 935 kes dengan nilai kerugian RM43,920,299.00.

Manakala setakat Jun tahun 2024, sejumlah 349 kes penipuan love scam telah direkodkan polis dengan nilai kerugian RM12,821,122.53.

Sebagai langkah pencegahan, Ramli menasihatkan orang ramai yang berkenalan dengan rakan maya agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai janji-janji manis yang diberikan.

Beliau turut mengingatkan percintaan melalui media sosial ataupun platform ‘dating’ dalam talian adalah tidak benar, lebih-lebih lagi apabila satu pihak menabur pelbagai janji dan berterusan meminta wang walau tidak pernah bertemu secara realiti.

Katanya lagi, di sebalik pelbagai peringatan serta nasihat yang diberikan oleh polis, kes-kes penipuan love scam tetap terus berlaku ke atas orang ramai.

“Jabatan ini tidak menolak kemungkinan permainan emosi yang digunakan oleh sindiket penipuan ini telah ‘membutakan’ mangsa-mangsa yang terlibat sehingga
mereka menurut segala kehendak dan arahan diberikan.

“Menerusi hasil siasatan polis juga mendapati, sebahagian mangsa love scam mengaku mempunyai pengetahuan perihal modus operandi love scam, namun apabila dibuai perasaan, mereka tidak sedar telah terjerumus ke perangkap penipuan,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette

 

Scroll to Top