NEW DELHI: Penduduk berlainan agama di sebuah kampung di Punjab, India baru-baru ini bekerjasama membina sebuah masjid untuk keluarga Islam di kawasan itu.
Akhbar Arab News melaporkan, keharmonian dan sikap toleransi itu ditunjukkan oleh penduduk beragama Hindu dan Sikh terhadap rakan sekampung mereka di Kampung Bhaloor.
Di sebalik ketegangan agama yang semakin meningkat di India, kampung terbabit masih aman walaupun didiami penduduk berbilang agama seperti Hindu, Sikh dan Islam.
Kampung Bhaloor dengan 12,000 penduduk itu terletak di daerah Moga, Punjab, yang menempatkan tujuh gurdwara (tempat ibadat Sikh) dan dua kuil Hindu tetapi tiada masjid untuk 20 penduduknya yang beragama Islam.
Ketua kampung, Pala Singh, berkata sebuah masjid lama pernah wujud di kampung itu pada 1947, ketika penjajah Inggeris membahagikan tanah jajahannya kepada Pakistan dan India.
Bagaimanapun, keadaan masjid itu bertambah usang selepas ramai penduduk Islam meninggalkan kampung berkenaan.
“Selepas pemisahan itu, kebanyakan keluarga Islam berangkat ke Pakistan dan masjid yang ada pun diruntuhkan.
“Masjid baharu akan dibangunkan di tanah yang sama dan kami semua bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini,” katanya.
Hujung minggu lalu, seorang ulama tempatan meletakkan batu asas untuk Masjid Mohammadi, dengan wakil semua agama menghadiri upacara terbabit.
Ketua Jawatankuasa Pengelola Masjid Mohammadi, Anwar Khan, berkata ada pihak yang menyumbangkan AS$2,800 (RM11,564) untuk pembinaan masjid dan beberapa bantuan lain.
Tambah beliau, masjid baharu itu dijangka siap tahun depan dengan anggaran kos keseluruhan AS$17,000 (RM70,218).
“Penduduk kampung kami mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain dengan masing-masing menghormati semua agama dan masjid baharu ini tidak mungkin dibina tanpa sokongan moral dan kewangan mereka.
“Ini adalah contoh keharmonian masyarakat yang wujud di saat India menyaksikan pelbagai ketegangan antara agama sehingga ada yang menakutkan dan bertukar ganas,” katanya.
Sementara itu, di perkampungan berhampiran, Malerkotla di Jalandhar, seorang lelaki beragama Sikh, Jagmel Singh, mendermakan tanah pusakanya untuk pembinaan masjid. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd