Pengantin baharu cedera nahas 7 kenderaan

Pengantin baharu cedera nahas 7 kenderaan

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Pengantin baru cedera selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 106.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini malam tadi.

Mangsa, Muhammad Abdul Latif Ahmad, 24, ketika itu menunggang motosikal Yamaha seorang diri untuk pulang ke Pulau Pinang selepas tamat cuti hari raya selama seminggu di Kuala Nerang dan Pokok Sena.

Ibu mentuanya, Jamilah Ahmad, 55, berkata, ini kali pertama menantunya menyambut Aidilfitri di Kuala Nerang, selepas melangsungkan perkahwinan sebulan lalu.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka mangsa terbabit dalam kemalangan dan menerima panggilan daripada seorang pemandu yang juga mangsa kemalangan kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, mangsa juga sempat singgah di rumah keluarganya di Pokok Sena sekitar jam 7 petang sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang tetapi terbabit dalam kemalangan di Sungai Petani.

“Keadaan menantu saya agak parah iaitu di bahagian kaki dan jari. Kini dia masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Ujian buat kami sekeluarga dalam keseronokan menyambut Aidilfitri, menantu pula terbabit dalam kemalangan dan masih dirawat di wad kecemasan HSAH.

“Kami harap dia dapat dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana dapatlah kami menjaganya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamilah berkata, Muhammad Abdul Latif bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu susulan video yang ditular di TikTok.

Beliau berkata, antara kenderaan yang terbabit adalah tiga buah Perodua Myvi, sebuah Honda City, sebuah Honda Civic, sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal Yamaha.

“Bagaimanapun enam pemandu kereta berusia 20 hingga 51 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya penunggang motosikal sedang dirawat di hospital.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Perodua Myvi kelabu membrek apabila kenderaan di hadapannya brek secara tiba-tiba.

“Kemudian datang kereta Honda City, dua buah Perodua Myvi dan Toyota Hilux masing-masing turut membrek sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran di bahagian belakang kereta terbabit.

“Akibatnya, kenderaan Toyota Hilux yang cuba melanggar dan mengelak menyebabkannya terbalik sebelum melanggar kereta Honda Civic yang kemudian melanggar kereta keempat,” katanya dalam kenyataan hari

Wan Azharuddin berkata, sebuah motosikal pula cuba untuk mengelak dari melanggar Toyota Hilux dan terjatuh serta cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top