Pengalaman diugut tak patah semangat Heti terus berkhidmat sebagai penguat kuasa JKDM

Pengalaman diugut tak patah semangat Heti terus berkhidmat sebagai penguat kuasa JKDM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Peristiwa itu sedikitpun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat,” kata Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor Bahru, Heti Suroto.

Beliau antara 15 penerima Anugerah Wira Wirawati JKDM sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-43 di Putrajaya di sini, semalam.

Heti, 43, pernah berdepan detik hitam apabila menerima ancaman dan ugutan oleh sindiket menjalankan aktiviti kelab malam sehingga rumah serta kenderaannya turut disimbah cat.

Meskipun peristiwa pada 28 Februari 2019 itu masih segar dalam ingatannya dan memberi kesan trauma berpanjangan kepada tiga anak, Heti berkata, beliau tetap mahu meneruskan tugas demi menjaga keselamatan negara.

Menceritakan kejadian, katanya, semuanya berlaku apabila beliau diberi tanggungjawab mengetuai operasi penguatkuasaan Lesen Rumah Awam di pusat hiburan sekitar Johor Bahru.

“Operasi berkenaan dijalankan berterusan selama dua minggu dan pelbagai tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Bagaimanapun selepas dua hari selesai operasi, rumah dan kenderaan saya disimbah cat selain satu nota ugutan turut ditinggalkan suspek. Ketika itu saya sedang bekerja dan hanya anak-anak serta pembantu berada di rumah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Heti berkata, beliau membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek seorang lelaki tempatan.

Katanya, suspek itu bersama beberapa lagi suspek lain berjaya diberkas dan sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Walaupun berdepan kejadian yang mengancam diri termasuk pernah disogok, namun beliau menganggap ia hanya cabaran kecil buat pegawai pasukan berkuasa sepertinya.

Beliau bersyukur keluarga dan jabatannya sentiasa memberikan sokongan untuknya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin sedar bahawa cabaran dihadapi pasukannya bukan mudah malah memerlukan pengorbanan masa dan tanggungjawab berat yang menuntut kecekalan, keberanian serta integriti tinggi.

“Namun, saya yakin bahawa semangat perjuangan dan nilai kesetiaan kepada amanah yang dipikul akan terus menjadi pemacu kepada kecemerlangan JKDM.

“Jabatan amat menghargai setiap titik peluh dan jasa bakti yang dicurahkan. Mereka adalah pahlawan menjaga benteng ekonomi dan keselamatan negara,” katanya yang mendoakan ia diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Beliau berharap pegawai dan anggota JKDM meneruskan kecemerlangan, kekalkan integriti dan semarakkan semangat perjuangan demi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top