Penerjun 69 Komando PDRM pukau 10,000 pengunjung

Penerjun 69 Komando PDRM pukau 10,000 pengunjung

am@hmetro.com.my

Melaka: Enam penerjun dari Unit Payung Terjun 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan penerjunan dari ketinggian 4,000 kaki memukau lebih 10,000 pengunjung di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir di sini, malam ini.

Aksi penerjun tepat itu diketuai Asisten Komisioner Rosman Kasman dan disertai Sarjan Mejar Fauzi Mohd, Sarjan Mejar Zainal Abiddin Zakaria, Koperal M Pragash, Khairul Az’ehar dan Sarjan Shamsur Sador.

Persembahan payung terjun itu adalah antara acara Melaka Night Life yang diadakan sempena Program Kerajaan Negeri Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), malam ini.

Program julung kali diadakan itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain; EXCO Kanan Melaka, Datuk Rais Yasin serta beberapa pegawai kanan PDRM.

Selain pertunjukan payung terjun, beberapa lagi acara pentas termasuk pancaragam PDRM turut dipersembahkan kepada pengunjung.

Antara pertunjukan terbabit termasuklah kawad patung dan kawad senyap dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, kawad kaki senyap dari PULAPOL Ayer Hitam, persembahan bermotosikal, T Baton serta persembahan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM.

Turut diadakan persembahan pentas daripada artis tempatan termasuk Haiza dan Yasir Fikri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top