Penerima STR lega, bantuan ringankan beban

Penerima STR lega, bantuan ringankan beban

MELAKA: Rata-rata rakyat Melaka daripada golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) lega dan bersyukur apabila bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 telah diterima oleh mereka.

Mereka menyifatkan bantuan itu meringankan beban perbelanjaan keperluan harian mereka dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Seorang guru Taska di Telok Mas, Siti Humairah Atiqah Bakhtiar, 23, berkata, wang berkenaan akan digunakannya untuk keperluan hariannya sementara menunggu gaji yang diterima hujung bulan ini.

“Pemberian STR tepat pada waktunya dan bolehlah saya gunakan untuk membeli barang keperluan harian.

“Saya harap kerajaan patut teruskan inisiatif seperti ini untuk bantu golongan B40 walaupun hanya RM150, bantuan macam ini banyak ringankan beban saya,” katanya ketika ditemui di Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Munshi Abdullah di sini.

Seorang wanita Suhana Ismail, 31, dari Banda Hilir pula berkata, dia turut bersetuju agar STR ini diteruskan lagi pada masa akan datang khususnya kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan mereka yang tidak mampu bekerja atas faktor kesihatan.

“Seperti saya yang sedang mencari kerja, bantuan ini cukup melegakan kerana dapatlah saya bantu keluarga dan digunakan untuk perbelanjaan harian,” ujarnya.

Dia juga berharap agar kerajaan dapat menaikkan jumlah STR tahun depan berikutan kenaikan harga barangan asas sejak kebelakangan ini.

Bagi seorang pesara, K. Govindasamy, 69, dari Padang Jawa pula, sumbangan itu cukup untuk perbelanjaannya kerana sudah tidak mampu bekerja akibat masalah
kesihatan.

Menurutnya, langkah kerajaan mewujudkan program STR wajar dipuji kerana ia dapat membantu menampung keperluan golongan yang memerlukan.

“Tengoklah saya tidak mampu lagi bekerja siapa nak beri wang untuk saya belanja tetapi ada sumbangan STR saya cukup lega dapatlah beli barangan keperluan harian,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top