Penerapan Pembelajaran Kendiri: Transformasi Bilik Darjah Matematik

Kuala Lumpur: Belakangan ini pencapaian pembelajaran Matematik dalam kalangan pelajar sekolah  makin menurun mencetuskan  kebimbangan dalam kalangan warga pendidik. Berdasarkan keputusan SPM 2022 yang lalu menunjukkan sebanyak 24 peratus calon gagal dan 29 peratus lagi mendapat gred D dan E dalam matapelajaran Matematik. Oleh sebab itu, pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dan pihak sekolah dalam menangani masalah ini.

Antara usaha yang dapat dilaksanakan adalah penerapan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar matematik. Pembelajaran kendiri merupakan kaedah pembelajaran yang berkonsepkan belajar atas daya usaha pelajar sendiri dalam mengambil, merekod dan mefailkan maklumat. Pensyarah Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Rusliza Ahmad juga mencadangkan supaya pelajar mengambil inisiatif dengan mempelbagaikan teknik pembelajaran kendiri untuk memahami konsep dan formula matematik selain memperbanyakkan latihan.

Bertitik tolak daripada itu, pelajar perlu mengubah sikap mereka terhadap subjek matematik dengan menanam minat dan disiplin yang tinggi. Misalnya pelajar boleh menetapkan jadual belajar dengan menyiapkan sekurang-kurangnya 5 soalan matematik sehari untuk mana-mana topik yang mereka belum kuasai. Jika terdapat masalah dalam menyelesaikan soalan, pelajar dapat bertanyakan kepada guru secara langsung di sekolah. Hal ini secara tidak langsung membentuk hubungan positif antara guru dan murid di mana guru akan berasa bersemangat untuk memastikan semua pelajar mencapai objektif pembelajaran dan pelajar tidak berasa takut atau segan untuk bertanyakan soalan.

Lain daripada itu, mewujudkan kumpulan perbincangan bersama rakan khas untuk belajar matematik juga salah satu pembelajaran kendiri. Soalan-soalan matematik kebiasaannya mencabar dan memerlukan proses berfikir di luar dari kebiasaannya. Dengan adanya kumpulan perbincangan ini, pelajar yang lemah boleh meminta rakan yang bijak matematik untuk membantu mereka menyelesaikan soalan. Justeru, rungutan atau aduan yang belajar matematik ini adalah sukar dapat dinafikan oleh pelajar.

Selain itu, murid boleh melakukan teknik pembelajaran kendiri dengan memahami konsep asas di dalam matematik melalui rujukan buku teks atau penerangan lanjut melalui video pengajaran. Dalam era dunia dihujung jari ini terdapat banyak akses video pengajaran yang pelajar boleh dapatkan sama ada melalui platform Youtube, Tiktok mahupun Google. Pelajar perlu menggunakan kemudahan ini sehabis baik untuk memahami konsep asas matematik sebelum mempelajari ke peringkat yang lebih tinggi.

Tuntasnya, pembelajaran kendiri adalah pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan memerlukan peranan aktif pelajar sendiri dalam usaha menguasai subjek matematik. Namun, ibu bapa dan guru boleh menjadi pembakar semangat untuk pelajar melakukan pembelajaran kendiri ini dalam mengubah pencapaian mereka dalam mata pelajaran matematik.

Nama Penulis:

Nur Amanina Binti Pakuradin
Pelajar Sarjana Pendidikan Kimia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Dr. Mohd Mokhzani Bin Ibrahim
Pensyarah, Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak.