Penduduk Sudan Selatan gempar bunyi tembakan

Penduduk Sudan Selatan gempar bunyi tembakan

JUBA: Bunyi tembakan kedengaran di ibu negara Sudan Selatan, Juba, pada petang Khamis, selepas pasukan keselamatan cuba menahan bekas Ketua Perkhidmatan Keselamatan Negara (NSS).

Berita itu hasil laporan wartawan Reuters dan makluman keselamatan yang dihantar kepada kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tembakan itu bermula sekitar pukul 7 malam waktu tempatan dan berlanjutan secara berselang-seli lebih sejam sebelum kembali tenang, lapor wartawan Reuters.

Dalam makluman keselamatan yang dikeluarkan kepada kakitangan PBB di Juba, insiden itu dikaitkan dengan penahanan bekas ketua NSS tersebut.

Pihak PBB menasihati kakitangannya untuk berlindung di tempat masing-masing.

Presiden, Salva Kiir sebelum ini telah memecat Akol Koor Kuc, yang mengetuai NSS sejak kemerdekaan Sudan Selatan dari Sudan pada 2011, awal Oktober lalu.

Kiir kemudian melantik sekutunya yang rapat untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Seorang jurucakap tentera yang dihubungi melalui telefon memaklumkan beliau sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi tersebut.

Penganalisis menyifatkan pemecatan Akol Koor sebagai mencerminkan perebutan kuasa di peringkat tertinggi kerajaan.

Tindakan itu berlaku beberapa minggu selepas kerajaan peralihan yang diterajui Kiir mengumumkan pilihan raya yang dijangka diadakan pada Disember ditangguhkan buat kali kedua.

Sebelum ini, Sudan Selatan menyaksikan perang saudara antara puak yang setia kepada Kiir dan Naib Presiden Pertama, Riek Machar, dari 2013 hingga 2018, mengakibatkan ratusan ribu kematian.

Walaupun kedua-dua pemimpin tersebut kini mentadbir bersama dalam kerajaan peralihan, ketegangan antara pihak yang bertentangan terus berlaku secara berkala, selain pertempuran berterusan antara kumpulan bersenjata di kawasan luar bandar. -AGENSI

Scroll to Top