am@hmetro.com.my
Tamparuli: Penduduk di Kiulu berdepan kesulitan akibat kelewatan pembaikan jalan utama di Kilometer 7.6, Kampung Malanggang Baru dekat sini yang terputus dua sejak bulan lalu.
Laluan alternatif yang jauh bukan sahaja memakan masa, bahkan meningkatkan kos perjalanan hingga tiga kali ganda, menekan golongan berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, menggesa pembinaan laluan sementara untuk mengurangkan beban penduduk.
“Saya meninjau laluan itu hampir setiap minggu untuk melihat sendiri perkembangan pembinaannya, namun mengecewakan apabila mendapati pembaikan kerosakan pada kemudahan itu gagal disiapkan mengikut jadual,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, sepanjang tempoh pembaikan laluan itu, penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif Jalan Bungoliu-Logkou-Timbok, Jalan Kiulu-Logkou Lama dan Jalan Kiulu-Lawa Mandau untuk ke pekan Kiulu.
Bagaimanapun, katanya, jalan alternatif itu terlalu jauh berbanding laluan biasa menyebabkan tambang pengangkutan awam meningkat sehingga RM13 seorang sehala perjalanan Kiulu-Tamparuli berbanding hanya RM4 tambang biasa.
“Pendekatan paling berkesan menyelesaikan kesulitan dihadapi penduduk Kiulu itu menerusi penyediaan laluan sementara berhampiran lokasi jalan raya rosak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Joniston berterima kasih kepada kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran kerana bertungkus lumus menyiapkan pembaikan laluan itu bagi memastikan dapat digunakan segera untuk mengelakkan kesulitan penduduk Kiulu berpanjangan.
Beliau berkata, kerja menurap laluan yang dibaiki itu hanya boleh dilakukan, apabila keadaan tanah di kawasan itu benar-benar kukuh untuk memastikan laluan berkenaan tidak mudah rosak selepas pembaikan selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd