Penduduk kesal longgokan sampah cemari kampung

Penduduk kesal longgokan sampah cemari kampung

TAMPIN: Penduduk di dua buah perkampungan iaitu Kampung Pasir Besar dan Kurnia Diraja di Gemas di sini, kesal dengan kejadian longgokan sampah pukal berhampiran sungai di kampung itu.

Hasil tinjauan juga mendapati longgokan sampah pukal itu telah memenuhi laluan kecil tidak jauh dari jalan utama hingga ke sungai yang dianggarkan sekitar 50 meter serta setinggi satu meter.

Menurut salah seorang penduduk, Mohd. Khairul Izwan Japari, 37, dia mula menyedari terdapat longgokan sampah berkenaan pada penghujung tahun lalu.

“Mula-mula saya ingat ada pihak buat kerja, jadi letakkan sementara sampah pukal tersebut. Tetapi semakin lama semakin banyak pula, apa yang lebih saya bimbang, kawasan sampah dekat dengan sungai.

“Kalau banjir, tentunya akan ada sampah yang masuk ke dalam sungai malah disebabkan sampah pukal ini juga, ia menyukarkan pemancing untuk datang ke sini kerana beberapa laluan sudah terdapat sampah pukal,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Besar, di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd. Hanapi Mahadi berkata, dia sudah membawa masalah itu kepada pengetahuan pihak bertanggungjawab.-UTUSAN.

Scroll to Top