Penduduk dibenar pulang ambil barang, binatang peliharaan

Penduduk dibenar pulang ambil barang, binatang peliharaan

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Penduduk yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dibenarkan pulang sementara ke kediaman masing-masing bagi mengambil barang peribadi mereka.

Mereka yang ingin masuk ke kawasan perumahan di Jalan Putra Harmoni itu perlu terlebih dahulu mendaftar dengan pihak berkuasa sebelum diberi kebenaran.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, dia tinggal di blok C dan sempat melarikan diri pagi tadi dengan sedikit barang peribadi, sebaik melihat api marah berhampiran kediamannya.

“Ada beberapa rumah yang berdekatan turut terbakar termasuk kereta namun mujur saya sempat melarikan diri.

“Kami hanya dibenarkan masuk sementara sahaja dan dalam dua minggu ini saya terpaksa menumpang di rumah saudara,” katanya ketika ditemui sedang beratur menunggu giliran dibenarkan masuk di lokasi kejadian malam ini.

Difahamkan ada yang ingin masuk bagi mengambil binatang peliharaan dan dokumen lain termasuk ubat-ubatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.45 petang tadi dengan kekuatan 325 anggota dari 11 agensi.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 227 rumah terjejas iaitu 78 daripadanya musnah terbakar.

Maklumat terkini kebakaran saluran gas di Putra Heights

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top