Penduduk Cheras ‘terhimpit’ setiap hari

Penduduk Cheras ‘terhimpit’ setiap hari

KUALA LUMPUR: Deretan projek perumahan bertingkat yang tumbuh ‘bagai cendawan selepas hujan’ di sekitar Cheras, khususnya Bandar Sri Permaisuri di sini, tidak lagi menggambarkan kemajuan.

Sebaliknya, ia mendatangkan beban kepada penduduk apabila isu kekurangan tempat letak kenderaan terus membelenggu kehidupan harian mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kepadatan penduduk di kawasan seperti Pangsapuri Sri Penara dan Pangsapuri Cendana semakin meruncing, namun kemudahan asas seperti parkir kenderaan tidak dibangunkan secara seimbang.

Seorang pesara, Tarmizi Sanusi, 68, yang menetap di Pangsapuri Sri Penara berkata, masalah itu bukan lagi perkara baharu kepadanya.

“Parkir penuh sebelum pukul 8 malam. Kalau saya balik lewat, memang kena parkir luar walaupun ada pelekat kenderaan.

“Kalau ada kecemasan, kena tolak kereta orang yang parkir berlapis. Sangat tertekan sebab kawasan ini memang terlalu padat,” katanya.

Dia juga meluahkan kebimbangan kerana sering melihat kenderaan penduduk berisiko dilanggar di sisi jalan, termasuk pernah berlaku insiden kereta dirempuh lori ketika diletakkan di jalan utama.

“Jumlah rumah dan petak parkir langsung tidak seimbang. Sistem pelekat kenderaan pun hanya diberi satu bagi setiap rumah. Sampai bila hendak hadapi masalah ini?,” soalnya.

Masalah serupa turut diluahkan Muhammad Hairi, 52, penghuni Pangsapuri Cendana sejak 23 tahun lalu.

Menurutnya, suasana rebut tempat letak kenderaan menjadi rutin harian.

“Lepas Maghrib, hendak parkir berlapis pun sudah tidak ada ruang. Sesiapa yang ada dua tiga kereta memang kena fikir banyak kali. Ini bukan masalah kecil, tetapi kerajaan kena lihat balik perancangan pembangunan yang langsung tidak sistematik,” tegasnya.

Muhammad yang bekerja sendiri berkata, keadaan kini semakin teruk, terutamanya pada waktu puncak apabila akses jalan utama turut sesak dan menjejaskan pergerakan penduduk.

Mohamad Nazarudin, 63, pula menyifatkan sistem parkir di kawasan itu sebagai ‘siapa cepat dia yang dapat’.

Bekas tentera yang kini menetap bersama anaknya di Pangsapuri Sri Permaisuri berkata, penduduk perlu membayar caj RM100 untuk penyelenggaraan, namun tidak melihat sebarang perubahan ketara.

“Kalau tayar dikunci kena bayar sehari RM50. Pelawat pula menambahkan lagi kesesakan, terutama bila musim perayaan. Bayar penyelenggaraan pun bukan parkir bertambah. Satu rumah, satu tapak parkir memang tidak cukup langsung,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila premis perniagaan turut terkesan akibat ketiadaan ruang meletak kenderaan.

Martin Lester, 20, yang merupakan pengurus stor simpanan sebuah kedai 24 jam berkata, waktu puncak antara pukul 12 tengah hari hingga 10 malam menjadi mimpi ngeri buat pelanggan dan pekerja.

“Pembekal barang pun susah nak turunkan barang, terpaksa bertekak dengan penduduk untuk alih kereta. Pelanggan pun ramai mengadu kerana jalan jauh sebab parkir penuh,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top