Penduduk bantah pemaju luar majukan rizab padang kerbau

Penduduk bantah pemaju luar majukan rizab padang kerbau

KUALA KRAU: Penduduk Kampung Seri Tanjung atau nama asal Kampung Pandan mengadakan demonstrasi  aman membantah  kawasan rizab padang kerbau seluas 40.13 hektar diusahakan dengan  tanaman kelapa oleh pemaju luar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak kampung itu, Baderul Hisham Zainuddin berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada  2018 mencadangkan kawasan tersebut  untuk Rancangan Tanah Kelompok (RTK) generasi kedua bagi ternakan integrasi lembu, kerbau dan aktiviti tanaman kontan.

Menurut beliau, kawasan tersebut kini diusahakan penduduk kira-kira 120 orang dengan ternakan lembu dan kerbau lebih 10 tahun dan menjadi sumber pendapatan penduduk di situ.

“Kini timbul persoalan kenapa rizab padang kerbau di Kampung Pandan diluluskan kepada pemaju luar yang difahamkan hanya memohon kepada pihak berkuasa tanah tahun lepas sedangkan permohonan penduduk diabaikan.

“Kami juga terkilan layanan berbeza ke atas penduduk sedangkan kampung berhampiran telah diluluskan kepada penduduk di bawah projek RTK,” katanya kepada pemberita selepas bantahan aman di kampung itu di sini hari ini.

Menceroboh

Baderul Hisham berkata, surat bantahan  dikemukakan kepada kerajaan negeri, wakil rakyat setempat dan Pegawai Daerah Temerloh dan juga pemaju swasta terbabit yang sanggup ‘menceroboh’ tanah penduduk yang sekangkang kera itu. 

Sementara itu, Biro Pertanian dan Ternakan JKKK Kampung Seri Tanjung, Arifin Kamarudin, 58, berkata, projek tanaman kelapa itu turut merangkumi padang bola sepak dan pendaratan helikopter apabila berlaku musibah banjir bagi tujuan bantuan dan kecemasan.

Menurutnya, penduduk kampung pernah memohon kawasan itu tetapi ditolak pentadbir tanah Daerah Temerloh dengan alasan kawasan tersebut adalah rizab padang kerbau.

“Timbul persoalan kenapa rizab padang kerbau Kampung Pandan diluluskan kepada pemaju luar sedangkan kampung berhampiran diluluskan kepada penduduk di bawah projek RTK,” katanya.

Menurutnya, Baderul Hisham telah membuat laporan polis pada 18 Februari lalu ke atas syarikat swasta terbabit kerana menaikkan papan iklan projek tanaman kelapa di Kampung Seri Tanjung, Mukim Jenderak tanpa pengetahuan Ahli Jawatankuasa Bertindak.

Membantah

Tambah beliau, laporan polis itu dibuat bertujuan mempertahankan dan membantah pemberian kawasan rizab padang kerbau di kampung tersebut kepada pemaju luar.

“Ini kerana kawasan berkenaan merupakan lokasi projek ternakan lembu, kerbau dan tanaman kontan penduduk yang berulang alik ke situ setiap hari. 

“Pemaju berkenaan mendakwa telah mendapat kelulusan pihak  berkuasa memajukan kawasan itu dengan projek tanaman kelapa tetapi gagal menunjukkan surat kelulusan sebagai bukti,” katanya.

Seorang penternak lembu, Mokhtar Othman,59, yang menjayakan projek ternakan lembu sejak 10 tahun lalu membantah syarikat pemaju meletakkan papan tanda amaran penceroboh akan didakwa tanpa sebarang notis pemberitahuan kepada pihak JKKK.

Tegasnya, sebagai penternak dan anak jati kampung ini, dia seolah-olah melakukan satu kesalahan menceroboh kawasan sendiri sedangkan lokasi dipertikai berada di tanah rizab padang kerbau kampung ini.

Beliau berharap pihak berwajib melayani keperluan dan kebajikan penduduk asal yang merasakan hak mereka dirampas berbanding pihak pemaju lebih berorientasikan keuntungan semata-mata. – UTUSAN

Scroll to Top