Pendigitalan sistem agihan zakat Maik beri keyakinan

Pendigitalan sistem agihan zakat Maik beri keyakinan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Keberkesanan pendigitalan sistem agihan zakat kepada asnaf oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memberi keyakinan kepada pembayar zakat untuk berinfak.

Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia terbukti apabila Maik menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2024 dalam kategori inovasi zakat terbaik kategori agihan melalui Sistem eAgihan.

Yang Dipertua Maik itu berkata, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, inovasi dalam sistem pendigitalan menyebabkan permohonan bantuan zakat Maik meningkat, bukan sahaja memudahkan urusan permohonan dan semakan, malah mempercepatkan lagi tempoh dan kelulusan bantuan.

“Pihak Maik sentiasa berusaha melaksanakan amanah untuk mengagihkan semaksimum mungkin wang zakat kepada asnaf di negeri Kelantan dan mereka yang memerlukan.

“Kutipan zakat pada tahun lalu mencatat sejarah baharu dalam pengagihan zakat kepada asnaf dengan peningkatan 15 peratus iaitu

RM269,417,035,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar Dan Apresiasi Pembayaran Zakat Tahun 2024 di sini, hari ini.

Pada masa sama, pihak Maik mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sekiranya terdapat kes berkaitan orang susah atau ditimpa musibah supaya bantuan segera dapat disalurkan.

Terdahulu seramai 30 asnaf menerima bakul makanan dan sumbangan hari raya pada majlis itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top