Pendidikan utama bermula dari rumah – Nad

Pendidikan utama bermula dari rumah – Nad

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Nad Zainal, 35, berasa tidak perlu memandang rendah kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan kerana pendidikan yang utama adalah bermula dari rumah.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia serta suaminya, Ungku Ismail Aziz termasuk semua ahli keluarga iaitu bapa saudara pun menerima pendidikan di sekolah kerajaan.

“Saya rasa tak jadi masalah pun hantar (anak) ke sekolah kerajaan. Saya sendiri pun dan semua keluarga saya belajar di sekolah kerajaan. Pakcik saya pun berkelulusan tinggi.

“Suami saya Ungku Ismail juga belajar hingga luar negara dari sekolah kebangsaan. Jadi, saya tak nampak itu sebagai satu masalah atau pun kita perlu pandang rendah pada ibu bapa yang hantar anak ke sekolah kebangsaan.

“Begitu juga dengan yuran yang lebih murah daripada sekolah swasta. Sebab satu, pendidikan bermula dari rumah. Jadi, saya dan Ungku Ismail, kita memang tegas bab itu,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nad ditemui hadir pada acara pelancaran koleksi Flipper X Bayu Somerset di sini.

Ibu tiga anak ini berkata, dia dan suaminya juga mengawal ketat pembelajaran anak di rumah apabila tidak membenarkan gajet dan menonton televisyen pada hari persekolahan.

“Memang tiada gajet, tiada TV melainkan anak-anak buat aktiviti dan belajar sesuatu di sekolah dan baru kita bagi pada hujung minggu saja. Kalau ada orang kata, sekolah ini tak bagus dan hantarlah (anak) ke sekolah mahal, ia sebenarnya dari rumah.

“Kalau di sekolah pun (bayar mahal), tapi anak itu di rumah manja dan di sekolah juga dimanja-manjakan, tidak jadi apa juga,” katanya.

Menurut Nad, apa yang dilakukannya bersama suami apabila menghantar anak ke sekolah kerajaan kerana mengikut kemampuan termasuk melihat ia masih relevan untuk pendidikan pelajar.

“Saya sebagai pelakon, ada pasang surutnya untuk tawaran kerja. Kalau hantar anak ke sekolah swasta dan tiba-tiba tak dapat nak diteruskan lagi, nanti pendidikannya (anak) tersekat di tengah jalan pula.

“Jadi, apa yang saya buat ini di atas kemampuan dan juga saya nampak sekolah kerajaan masih kekal relevan serta saya dapati ramai produk dari sekolah kerajaan berjaya hingga sambung pengajian di luar negara,” katanya.

Ujarnya, didapati juga ramai tenaga kerja dalam bidang profesional dan hebat-hebat di tanah air adalah mereka yang pernah menimba ilmu dari sekolah kebangsaan.

Baru-baru ini, menerusi siaran langsung di TikTok, Nad berhadapan soalan netizen yang mempersoalkan kepadanya mengenai keputusan menghantar anak ke sekolah kerajaan.

Nad menerusi perkahwinan pertamanya dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 9 dan Budi Kesuma, 6, sebelum bercerai pada September 2022.

Pada Januari 2023, Nad bernikah kali kedua dengan suami juga pelakon Ungku Ismail. Kini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ungku Indra Puteh Al Maajid berusia setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top