Pendawaian bas dinaiki remaja terkena renjatan elektrik tidak teratur, terbalik

Pendawaian bas dinaiki remaja terkena renjatan elektrik tidak teratur, terbalik

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Laporan awal Pasukan Petugas Khas diketuai Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan kematian remaja di Pulau Pinang bulan lalu akibat renjatan elektrik berikutan pendawaian elektrik dalam bas dinaikinya tidak teratur.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dalam bas itu dipasang secara terbalik.

“Ada pendawaian silap ‘input’ dan ‘output’ terbalik itu yang menyebabkan voltan tinggi dikeluarkan dari soket itu dan apabila voltan mengalir dalam badan mangsa menyebabkan kematian itu berlaku.

“Jadi itu yang kita kenal pasti antara punca insiden ini berlaku. Ini perlu disusuli laporan penuh oleh pasukan khas ini yang mengambil masa agak panjang dan hari ini saya beri laporan awal terlebih dulu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anthony berkata, laporan awal itu juga mendedahkan penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas itu juga tidak memenuhi standard piawaian barangan ditetapkan.

“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan sudah lulus pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pada 20 Mei 2024, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.

“Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Menurutnya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengendali bas pada 6 November lalu untuk menghentikan penggunaan semua soket elektrik 3-pin dalam bas dengan serta-merta.

“Arahan ini berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan MOT.

“Bagi proses pelesenan, APAD juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang sudah diakreditasi Jabatan Standard Malaysia.

“Pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan seperti kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain yang digunakan semua kenderaan perdagangan mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf badan pemeriksaan dan pengujian yang diakreditasi Jabatan Standard Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top