Pendakwaan Tutup Kes Ibu Bapa Zayn Rayyan | Oh! Media

Pendakwaan Tutup Kes Ibu Bapa Zayn Rayyan | Oh! Media

Perbicaraan kes tragis membabitkan kematian Zayn Rayyan Abdul Matin bakal memasuki fasa penting apabila Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh keputusan sama ada ibu bapanya akan dibebaskan atau perlu membela diri.

Selepas 20 hari perbicaraan bermula 4 Februari lalu, pendakwaan menutup kes hari ini dengan 28 saksi telah dipanggil. Antara saksi penting termasuk pegawai penyiasat, pakar perubatan, pengasuh serta dua kanak-kanak berusia 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan saksi terakhir adalah Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, bekas pegawai penyiasat kanan jenayah dari IPD Petaling Jaya.

Pihak pendakwaan turut menawarkan 23 lagi saksi kepada pihak pembelaan sekiranya ibu bapa Zayn dipanggil membela diri.

Pihak pembelaan ibu bapa Zayn Rayyan sedia bawa tujuk saksi…

zayn rayyan

Peguam Ramzani Idris yang mewakili pasangan tersebut berkata, sekiranya dipanggil, pihak pembelaan akan membawa tujuh orang saksi bagi membela anak guam mereka.

Turut hadir dalam barisan pembelaan ialah peguam Haresh Mahadevan dan Lavanesh Haresh manakala pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan anak mereka yang merupakan seorang kanak-kanak autistik.

Pertuduhan pindaan menyatakan bahawa pengabaian itu berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa dan kesalahan didakwa berlaku antara 5 dan 6 Disember 2023 di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pssttt! Kes Zayn Rayyan membuka mata ramai mengenai pentingnya keprihatinan terhadap kebajikan dan keselamatan anak-anak, khususnya mereka yang memerlukan perhatian khas. Apa pun keputusan mahkamah nanti, biarlah kebenaran tertegak demi keadilan buat arwah Zayn.

Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

Scroll to Top