am@hmetro.com.my
Sungai Siput: Selepas dilaporkan hilang ketika turun dari Gunung Yong Yap, Sabtu lalu, seorang pendaki dijumpai selamat di Kuala Mu di sini, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Ilhami Mohd Idris, 22, berasal dari Seri Kembangan, Selangor dijumpai jam 10 pagi di kawasan kebun getah oleh orang awam.
Menurutnya, mangsa didapati hilang ketika ketua ekspedisi pendakian itu membuat pemeriksaan ke atas kumpulan ekspedisi yang disertai 16 peserta itu, selepas mereka menuruni bukit di Kem Site Chinak pada 6 petang Sabtu.
Katanya, pasukan pendakian itu bersama lima malim gunung kemudiannya membuat pencarian hingga ke puncak gunung namun mangsa tidak dijumpai, sebelum mengambil keputusan untuk membuat laporan polis 10.03 malam Ahad.
“Pencarian mangsa dimulakan jam 7.30 pagi tadi bersama agensi yang terbabit, termasuk bersama lima malim gunung.
“Mangsa dijumpai oleh orang awam jam 10.00 pagi di kebun getah Kuala Mu sebelum diserahkan kepada bomba jam 10.26 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gunung Yong Yap yang terletak bersempadanan antara Perak dan Kelantan mempunyai ketinggian 2,167 meter dari aras laut dan antara tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai G7 dalam kalangan pendaki tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd