Jakarta: Seorang pencuri di Jawa Tengah, Indonesia sempat meninggalkan pesanan permohonan maaf selepas memecah masuk sebuah sekolah bagi mencuri barangan berharga.
Insiden itu berlaku di sebuah sekolah Guwurejo 3, Karangmalang, Sragen, pada 30 Januari lalu, lapor Tribunjatim.com.
Dalam mesej yang ditulisnya di papan hitam, pencuri berusia 23 tahun itu memohon maaf kerana mencuri di sekolah kerana dia memerlukan wang.
“Minta maaf encik dan puan kerana saya mencuri di sekolah ini.
“Saya perlukan wang,” tulisnya yang turut menandatangani pesanan itu.
Pencuri itu akhirnya berjaya diberkas pihak berkuasa dan mengaku salah merosakkan siling dan mencuri barangan berharga di sekolah berkenaan.
“Saya rasa bersalah kerana merosakkan sekolah dan saya minta maaf,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sragen, Jumaat lalu.
Suspek mengaku melakukan kecurian itu seorang diri manakala dua lagi penjenayah yang ditahan kerana menjual barangan curi itu.
“Saya berkongsi hasil jualan dengan rakan-rakan dan saya menerima bahagian lebih banyak.
“Hasil jualan adalah untuk kehidupan seharian, untuk makanan,” kata suspek seperti disiarkan Tribunnews.com.
Ketua Polis Daerah Sragen, Petrus Parningotan Silalahi mengesahkan penahanan tiga suspek berusia 23 tahun yang dibantu rakan subahat berusia 30 dan 35 tahun.
Katanya, pihaknya mendapati suspek turut melakukan perbuatan sama di beberapa lokasi di kawasan Karanganyar dengan jumlah kerugian 50 juta rupiah (RM13,644.85).
“Kami sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pendakwa raya,” katanya.
Sabit kesalahan, suspek berusia 23 tahun boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun manakala dua lagi suspek empat tahun.
Terdahulu dalam kejadian terbabit, beberapa bilik di sekolah itu rosak dipecah masuk suspek.
Dia memasuki bilik guru dengan memanjat bumbung dan memecahkan siling di beberapa bilik.
Lelaki itu pada mulanya menerobos siling di dalam kelas darjah tiga, tetapi tidak menemui barangan berharga sebelum berpindah ke siling bilik lain, tetapi selepas diperiksa, tiada almari untuk membantunya turun.
Akhirnya, dia berjaya menerobos siling ketiga di atas almari.
Selepas berjaya memasuki bilik guru, suspek berjaya mencuri unit CPU komputer, pencetak, penguat, sistem bunyi mudah alih dan dua mikrofon.
© New Straits Times Press (M) Bhd