Pencemaran udara boleh jejaskan kesihatan otak, daya ingatan warga emas – Kajian

Pencemaran udara boleh jejaskan kesihatan otak, daya ingatan warga emas – Kajian

Karachi: Pencemaran udara boleh menjejaskan kesihatan otak warga emas, menurut satu kajian baharu dari Taiwan.

Kajian yang dikeluarkan oleh Universiti Nasional Yang Ming Chiao Tung mendapati pencemaran udara boleh merangsang sistem imun melalui deria bau, sekali gus mencetuskan keradangan, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Pusat Taipei pada Selasa.

Keradangan ini berpotensi merosakkan penghalang darah-otak, menyebabkan kecederaan pada saluran darah otak dan akhirnya menjejaskan kesihatan neurologi.

Dengan menggunakan model bagi menganggarkan tahap pencemaran udara dalam tempoh 10 tahun, para penyelidik mengkaji 412 individu berusia 60 tahun ke atas yang menetap di kawasan bandar dan luar bandar. Ujian kognitif serta imbasan MRI turut dilakukan untuk menganalisis perubahan dalam struktur otak mereka.

Imbasan MRI juga menunjukkan perubahan struktur pada bahagian otak yang berkaitan dengan tumpuan dan daya ingatan apabila kepekatan bahan pencemar menurun.

Menurut Profesor Madya di Institut Kesihatan Awam Universiti Nasional Yang Ming Chiao Tung, Yi-Fang Chuang, pencemaran udara merupakan faktor risiko kepada kemerosotan fungsi kognitif.

Beliau berkata kajian ini membantu menjelaskan hubungan antara pencemaran udara dan kesihatan otak warga emas.

Katanya, usaha memperbaiki kualiti udara dapat meningkatkan kesihatan otak serta fungsi kognitif dalam kalangan warga emas, sekali gus mengurangkan risiko demensia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top