Pencemaran bau: Seramai 38 Orang Asli dipindahkan, alami pening, cirit-birit

Pencemaran bau: Seramai 38 Orang Asli dipindahkan, alami pening, cirit-birit

KOTA TINGGI: Seramai 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan, di sini dipindahkan ke Balai Raya Kampung Orang Asli Sayong Pinang apabila mendakwa berlaku pencemaran bau sejak minggu lalu

Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff berkata, semua mangsa terdiri daripada 10 keluarga yang mengalami mual, cirit-birit dan pening sejak 5 September lalu disyaki kesan pencemaran bau akibat pembuangan bahan kimia ke kawasan berhampiran Sungai Linggiu yang terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan mereka.

“Mangsa terlibat dipindahkan atas inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti selepas mereka mengadu terkesan akibat pencemaran itu sehingga tidak boleh tidur.

“Penempatan sementara ini dibuka di balai raya kampung ini kerana terletak tujuh kilometer dari kampung kami. Pada awalnya hanya enam orang, namun kemudian semakin ramai penduduk yang sakit. Jadi, atas inisiatif ADUN Panti, penduduk dipindahkan ke sini buat sementara waktu untuk keselamatan mereka.

“Bau tersebut sangat kuat pada waktu malam, penduduk yang terjejas ini memang tidak boleh tinggal di rumah buat sementara waktu. Pihak ADUN dan Ahli Parlimen juga telah datang melawat ke kampung kami dan memang mengakui pencemaran itu,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Kampung Orang Asli Sayong Pinang, di sini hari ini.

Beliau berharap agensi yang berkenaan dapat mengambil tindakan lebih pantas dan tegas untuk mengatasi masalah pencemaran bau itu agar penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing dengan segera.

Difahamkan lori yang membawa muatan bahan kimia itu telah pun ditahan pihak berkuasa ketika hendak melakukan aktiviti pembuangan tersebut. 

Seorang penduduk, Tuasa Abu, 48, dan suami serta seorang anaknya mengalami muntah, pening dan cirit-birit akibat pencemaran bau itu.

“Doktor yang datang memeriksa kami juga mengesahkan sakit yang kami alami akibat pencemaran bau tersebut. Baunya seperti gas busuk. Sampai sekarang saya masih rasa tidak sedap badan, cuma pening,  sakit perut sudah tidak ada lagi sejak pindah ke sini.

“Kami memang mahu pulang ke rumah, tetapi dalam masa sama takut jika bau ada lagi. Suami yang memang ada sakit semput juga kini buat sementara waktu tidak dapat bekerja,” katanya. 

Rozaha Sita, 32, pula terpaksa berpantang di balai raya itu selepas melahirkan bayinya pada 18 Ogos lalu dan berharap pencemaran bau itu segera diatasi supaya mereka dapat pulang ke rumah dengan segera.

“Bayi mujur tiada apa-apa. Cuma anak dan suami alami pening kepala, kembung perut. Bahkan di rumah kami terpaksa pakai pelitup hidung dan mulut kerana tidak tahan dengan bau tersebut. Memang tidak tahan duduk di rumah dan terpaksa pindah di sini untuk kebaikan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN