Pencarian hos MG dapat sambutan luar biasa

Pencarian hos MG dapat sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR – MalaysiaGazette (MG) buat julung kalinya menganjurkan pencarian pengacara dan pembaca berita secara besar-besaran menerusi Hari Terbuka National Integrated College (NIC).

Ketua Pegawai Eksekutif MG, Noraini Abd Razak berkata, acara itu bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk terlibat dalam bidang kewartawan serta penyiaran di platform portal berita ini.a

Program tersebut dianjurkan sempena Hari Terbuka NIC yang diadakan dengan kerjasama Kolej NIC, DatumCorp International dan BECTA Training Academy Sdn Bhd (BECTA) di pusat beli-belah Datum Jelatek di ibu negara.

“Hari ini saya sebagai juri dan saya amat teruja melihat semua peserta yang hadir bersungguh-sungguh untuk menghasilkan persembahan yang terbaik ketika sesi uji bakat dilaksanakan.

“Terdapat dua segmen iaitu pengacaraan dan pembaca berita untuk peserta. Kita akan saring calon yang hadir dan mana terpilih akan melalui beberapa saringan dan mungkin akan menjadi salah seorang warga di MG,” katanya.

Noraini menambah, acara itu akan dilakukan di Perak, Johor, Melaka, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk mencungkil bakat-bakat yang ada

Juri, Norlaile Abd Rahman (Kiri) dan Noraini Abd Razak (Kanan) ketika memberi komen kepada peserta sempena Pencarian Hos MG pada Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JULAI 2024.

Lebih 10 peserta berusia seawal 15 tahun telah menghadiri program pencarian hos dan mereka dinilai oleh empat juri profesional dan berpengalaman dalam bidang penyiaran.

Selain Noraini, turut menjadu juri ialah Editor MG, Norlaile Abd Rahman, pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal dan pengalih suara Malaysia, Charl Tazen.

Juri, Norlaile Abd Rahman (Kiri) dan Noraini Abd Razak (Kanan) ketika memberi komen kepada peserta sempena Pencarian Hos MG pada Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JULAI 2024.

 

Sementara itu, menurut Norlaile, antara kriteria yang diambil kira dalam pencarian itu adalah peserta yang mempunyai keyakinan, berketerampilan, serba boleh dan mempunyai bakat dalam kewartawanan.

“Kami mencari mereka yang serba boleh untuk membaca berita, menjadi hos, ada keyakinan diri, lancar berbicara dan ada artikulasi, selain boleh menyampaikan maklumat secara spontan.

“Itu antara yang kita tekankan dalam pencarian bakat MG, jika mereka berkelayakan atau terpilih pastinya akan diberikan latihan dan bimbingan untuk mengilap bakat yang sedia ada.

“Alhamulilah semua memang bagus dan saya terkejut apabila ada usia muda 15 dan 18 tahun sudah berani menampilkan bakat mereka dan menentukan masa depan mereka. Itu benda yang tidak pernah berlaku pada zaman saya,” jelasnya.

Juri, Charl Tazen bercakap pada media ketika Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

Bagi Charl Tazen yang menilai dari sudut suara pula berkata, rata-rata peserta yang hadir mempunyai suara yang tersendiri dan ada yang perlu digilap lagi  dalam penyampaian berita dan pengacaraan.

“Saya melihat potensi semua peserta cukup besar, akan tetapi mereka harus menitik beratkan suara, kerana suara juga adalah ‘frontliner’ dalam penyiaran terutama di television dan radio.

“Jadi jangan hanya menjaga ketrampilan dan muka sahaja tapi lontaran suara, artikulasi, sebutan juga perlu dititikberatkan untuk menjadi penyampai berita, hos program atau apa saja dalam bidang media,” ujarnya.

Juri, Nur Dahlia Rizal memberi komen kepada peserta sempena Pencarian Hos MG pada Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

Bagi pempengaruh terkenal, Nur Dahlia pula berpandangan penglibatan peserta pada usia muda terutama pelajar sekolah adalah salah satu pendedahan yang baik bagi generasi gen Z.

“Alhamdulilah, semua peserta terbaik dan saya agak terkejut ramai yang datang. Ada yang  usia  muda mahu menjadi hos MG. Malah mereka juga fasih berbahasa melayu walaupun yang hadir ada peserta bangsa Cina dan India.

“Saya rasa program macam ini harus diadakan lagi kepada umum dan juga mereka di peringkat sekolah sebab generasi pada masa kini terdedah dengan media sosial dan platform seperti Tik Tok. Ia membuka ruang mereka menjadi hos dan akhirnya terlibat dalam bidang penyiaran,” katanya.

Antara perserta yang hadir ketika Pencarian Hos MG sempena Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

Dalam pada itu, salah seorang peserta yang terlibat, Hasbullah Awang Chik, 37 berkata, walaupun beliau dilihat agak berusia namun amat teruja untuk turut sama terlibat dalam program pencarian hos MG.

“Saya rasa saya antara peserta paling tua tapi melihat peserta yang muda dan ada datang dari Perak bagi saya ia satu platform yang baik dianjurkan sebab mereka mempunyai bakat besar pada usia sebegitu.

“Saya juga tadi agak gemuruh juga tapi sebab minat dalam bidang ini, saya cuba tampilkan bakat saya dan saja ingin mencuba nasib mana tahu ada rezeki terpilih menjadi salah seorang warga MG,” jelasnya. – MalaysiaGazette