lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pencapaian dividen yang kukuh dan berdaya saing oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2024 membuktikan prestasi cemerlang organisasi dana simpanan persaraan itu dalam mengurus lebih RM1 trilion nilai pelaburan.
Pakar Ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, walaupun kadar dividen 6.30 peratus yang diumum hari ini bukan tertinggi dalam sejarah seperti 8.50 peratus pada 1987, namun ia tetap kejayaan memberangsangkan berbanding pulangan dana persaraan lain di peringkat global, terutama dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
Menurutnya, strategi KWSP yang tidak hanya menumpukan kepada pelaburan dalaman negara, sebaliknya berani terbabit dalam pelaburan di seluruh dunia, selain budaya mengurus pelaburan yang kukuh antara faktor penyumbang kepada kejayaan itu.
“Awalnya penubuhan KWSP dulu lebih menumpu kepada pelaburan dalam negara kerana kita hendak membangunkan pasaran modal, pasaran saham dan pasaran bon dan sebagainya.
“Namun, KWSP hari ini sudah melebarkan sayap dan mempelbagaikan pelaburan.
“Ini adalah satu strategi yang sangat baik dengan menjadikan arena pelaburan kita seluruh dunia, kita sebenarnya menyebarkan risiko dalam pelaburan dan menjadikan pelaburan KWSP semakin kukuh,” katanya kepada Harian Metro.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah bagi 2024, tertinggi sejak 2017.
Mengulas lanjut, Dr Barjoyai berkata, kestabilan pengurusan KWSP akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhannya menerusi dana persaraan kepada kumpulan pesara dan pulangan pendapatan kepada negara.
“Paling utama adalah KWSP menyediakan dana untuk persaraan bagi lebih dari sembilan juta pencarum.
“Kumpulan ini dianggap menua apabila mereka bersara di umur 60 tahun, mereka akan mempunyai dana dan tidak perlu bergantung hidup kepada subsidi dan bantuan kerajaan.
“Keduanya, pelaburan yang dibuat oleh KWSP misalnya mengambil bahagian dalam projek pembangunan rumah, pembangunan kawasan bandar dan desa, serta melabur bersama institusi lain di luar negara akan menghasilkan pendapatan yang dibawa balik ke Malaysia yang akan meningkatkan prestasi ekonomi kita secara keseluruhan,” katanya.
Menurutnya, beliau yakin KWSP akan terus menunjukkan prestasi yang baik selagi tiada campur tangan daripada pihak tertentu seperti kuasa politik.
“Maknanya kita tidak mahu KWSP dipaksa untuk melabur dalam pelaburan atau institusi yang boleh menyebabkan prestasinya akan merosot,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meluahkan kebimbangan terhadap pencarum masih dibelenggu isu dana persaraan yang tidak mencukupi.
“Hari ini ada lebih enam juta pencarum hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan ada hampir tiga juta pencarum yang hanya mempunyai simpanan kurang dari RM1,000.
“Jadi mereka memang tak boleh bersara dengan selesa, sedangkan sepatutnya simpanan mereka yang mencarum KWSP ini boleh mencapai sekurang-kurangnya simpanan RM250,000 apabila mereka bersara.
“Mungkin kita semua menyalahkan Covid-19 yang menyebabkan pemimpin politik ketika itu membenarkan pengeluaran dividen, tetapi itu akan menyebabkan kesengsaraan kepada lebih enam juta pencarum KWSP,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd