Pencapaian Kontinjen Pahang lebih baik berbanding SUKMA 2022

Pencapaian Kontinjen Pahang lebih baik berbanding SUKMA 2022

KUANTAN – Kontinjen Pahang berlapang dada dengan kutipan pingat keseluruhan sebanyak 77 dengan 23 emas, 23 perak dan 31 gangsa bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berakhir semalam.

Memetik laporan Pahang Media, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan berkata, meskipun masih belum dapat mencapai sasaran yang ditetapkan pada kali ini  beliau gembira kerana pencapaian lebih baik daripada temasya sukan itu sebelum ini.

Ia termasuk tiga rekod baharu yang dicipta oleh atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong, 18.

“Kita sudah pun berada pada hari terakhir tetapi dalam masa yang sama kita masih dapat mengatasi prestasi SUKMA terdahulu dengan pencapaian pingat, kita ada beberapa lagi sasaran pingat, Insya-Allah kita akan mengatasi bilangan yang kita dapat pada 2022 dan mungkin kedudukan itu masih berada dalam kedudukan kesembilan sebab kita lihat kita ada 108 acara yang kita tidak sertai dan kita telah pun kurang 108 pingat emas.

“Bagaimanapun, sekali lagi terima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberikan komitmen dan menyokong penuh usaha-usaha yang dirancang oleh Majlis Sukan Pahang dan saya mengharapkan sokongan ini akan berterusan supaya pembangunan sukan di Negeri Pahang dapat diteruskan,” katanya.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MSP turut menyasarkan pembangunan sukan berprestasi tinggi di Pahang menjelang tahun 2030.

Pada SUKMA Sarawak XXI, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan menyasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.

SUKMA Sarawak XXI telah bermula pada 17 Ogos dengan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Sebagai simbolik penutupan aksi tersebar sukan negara itu, Selangor secara rasminya diumumkan sebagai tuan rumah bagi edisi Ke-22 yang akan berlangsung pada 2026 selepas menerima bendera kejohanan yang disampaikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette

Scroll to Top