GEORGE TOWN : Laluan berliku menanti Penang FC pada aksi timbal balik pusingan kedua Piala Malaysia di Sarawak nanti apabila pasukan itu gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas tewas 0-1 kepada Kuching City di Stadium Bandaraya, malam ini.
Lebih mengecewakan, kekalahan itu bagaikan satu ‘tamparan’ awal buat pengendali baharu Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail yang mengambil alih teraju pasukan daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebelum ini.
Bermula baik, kedua-dua pasukan bagaimanapun dilihat bermain dengan agak berhati-hati terutamanya pada separuh masa pertama disebabkan keadaan padang yang basah akibat hujan.
Tuan rumah cuba menguasai perlawanan pada babak-babak awal, namun, ketumpulan jentera serangan membuatkan mereka terpaksa ‘berputih mata’.
Pelawat yang sesekali mengasak bagaimanapun hampir di depan apabila ayam tambatan mereka, Tchetche Kipre berjaya merembat kencang ke arah gawang Penang FC pada minit ke-34. Bagaimanapun, percubaan bintang Ivory Coast itu sekadar menggegar tiang gol.
Sembilan minit berselang, Kipre bagaimanapun menebus kehampaan itu apabila umpanan kemasnya dalam kotak penalti berjaya disudahkan dengan baik oleh Ramadhan Saifullah untuk gol pertama Kuching City.
Masuk babak kedua, Kuching City bagaimanapun dilihat lebih agresif untuk menggandakan jaringan, namun, ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan menggagalkan hasrat mereka untuk menambah gol.
Penang FC cuba bangkit selepas itu apabila melancarkan serangan bertali-arus ke arah kubu pelawat menerusi gandingan Dylan Wenzel Halls dan pemain gantian, Nabil Ahmad Latpi.
Bagaimanapun, kekebalan benteng Kuching City yang diterajui kapten, James Okwuosa dan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh menutup peluang tuan rumah untuk merapatkan kedudukan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kekalahan 0-1 di laman sendiri bermakna, Penang FC perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua gol ketika bertandang ke gelanggang lawan 30 November nanti jika berhasrat untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini.-UTUSAN