Penang FC belasah Kelantan Darul Naim

Penang FC belasah Kelantan Darul Naim
Penang FC belasah Kelantan Darul Naim

Pemain Penang, Mohamed Syamer Kutty Baba (dua, kanan) dihalang pemain Kelantan Darul Naim FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya malam ini. Foto Bernama

PENANG FC akhirnya meraih kemenangan pertama di laman sendiri selepas mengharungi tujuh perlawanan apabila berjaya membenam Kelantan Darul Naim FC3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.

Beraksi di hadapan 1,543 penyokong, Penang FC bermula garang seawal minit permainan menerusi beberapa percubaan Ke arah pintu gol pasukan pelawat.

Gol pertama muncul pada minit ke-12 hasil tandukan pemain import dari Brazil, Rodrigo Da Silva Dias, hasil hantaran pemain pertahanan Fairuz Zakaria.

Kelantan Darul Naim FC yang terdesak mendapatkan jaringan cuba bangkit namun ketangkasan pemain tuan rumah berjaya menyekat kemaraan pasukan lawan.

Pada minit ke-19 skuad Harimau Kumbang hampir menambah jaringan namun percubaan pemain tengah Muhammad Izzat Zikri Izziruddin tersasar ke kiri pintu gol Kelantan Darul Naim FC.

Pasukan tuan rumah terus beraksi cemerlang apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya meledakkan gol kedua hasil hantaran Dias pada ke-34.

Pada minit ke-41, Kelantan Darul Naim FC cuba bangkit menerusi serangan tepat pemain pertahanan Adam Danial Md Zaid ke arah pintu gol namun berjaya ditepis penjaga gawang tuan rumah Sikh Izhan.

Bersambung di babak kedua, pasukan kendalian Ahmad Rizal Ahmad Rakhili menggandakan asakan dan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-75 selepas kapten pasukan, Rafael Vitor dijatuhkan dalam kotak penalti.

Peluang terhidang tidak disia-siakan apabila Vitor berjaya meledak gol ketiga yang turut menjadi kenangan manis buat pemain kelahiran Brazil itu pada penampilan ke-100 dengan pasukan berkenaan.

Gol itu sekali gus menjadi gol kemenangan buat Penang FC yang kini naik ke tangga ketujuh dengan sembilan mata manakala Kelantan Darul Naim FC terus buntu mencari kemenangan dan menghuni kedudukan tercorot liga dengan tiga mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!