PETALING JAYA: Atlet yang memerlukan pemulihan sukan kini mempunyai pilihan alternatif untuk mendapatkan rawatan di IDEAL Rehab Lab dan bukannya bergantung kepada Institut Sukan Negara (ISN), semata-mata.
IDEAL Rehab Lab yang bertapak di Subang Jaya itu merupakan pusat fisioterapi dan pemulihan sukan berteknologi tinggi yang menawarkan penjagaan kesihatan dan kecergasan dengan harga mampu milik.
Pengasas IDEAL Rehab Lab, Dr. Faizi Rosli berkata, pelancaran pusat fisioterapi sukan berteknologi tinggi setaraf milik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC itu, dijamin mampu dimanfaatkan komuniti.
“Pembukaan cawangan ini adalah hasil 10 tahun pengalaman kami dalam industri kesihatan dan kecergasan merangkumi pemeriksaan perubatan, senaman klinikal, fisioterapi serta lawatan dan rawatan di rumah.
“Kami mengenalpasti keperluan perkhidmatan pemulihan sukan yang lebih khusus. Jadi kami perkenalkan IDEAL Rehab Lab sebagai kesinambungan komitmen kami dalam penjagaan kesihatan terbaik kepada atlet dan masyarakat,” katanya.
IDEAL Rehab Lab menawarkan pelbagai teknologi canggih yang digunakan oleh kelab-kelab bola sepak terkemuka dan beberapa hospital swasta, antaranya VALD Forceframe dan MyJump Lab.
Menurut Dr. Faizi, pusat berkenaan juga menjadi salah satu daripada beberapa pusat rawatan swasta di Malaysia yang menawarkan Ujian Senaman Kardiopulmonari (CPET) di luar hospital.
“Kemudahan ini sekali gus memberikan alternatif yang lebih mudah diakses untuk penilaian menyeluruh terhadap kesihatan jantung dan paru-paru,” katanya.- UTUSAN