Pemuda UMNO kemuka calon tunggal PRK Ayer Kuning

Pemuda UMNO kemuka calon tunggal PRK Ayer Kuning

ALOR SETAR: Pemuda UMNO sudah mengemukakan nama tunggal untuk dinilai kepimpinan parti sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sayap tersebut menyediakan calon tempatan yang paling berpotensi untuk mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning sekiranya diberi peluang.

“Kita bersedia 200 peratus untuk menghadapi PRK Ayer Kuning. Kita ada calon tunggal sahaja daripada Pemuda yang telah kita serahkan kepada pucuk pimpinan. Kita akan biarkan kebijaksanaan Presiden bersama Timbalan dan Naib-naib Presiden termasuk Biro Politik untuk buat keputusan mana yang terbaik.

“Bagi kami, kita sudah serahkan calon yang terbaik dan apa sekalipun yang diputuskan oleh pusat itulah yang terbaik untuk parti, maka kita akan bersedia menghadapi PRK Ayer Kuning,” katanya pada Majlis Iftar Bersama Pemuda UMNO di Dataran Medan Bandar, semalam.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu tidak akan meletakkan calon luar atau ‘payung terjun’ pada PRK DUN Ayer Kuning, sebaliknya calon yang dipilih daripada enam calon yang disenarai pendek terdiri dalam kalangan kepimpinan UMNO Bahagian Tapah.

Katanya, calon yang bakal dipilih itu nanti akan memahami citarasa pengundi di Ayer Kuning sekali gus meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.

Kata Muhamad Akmal, calon dalam kepimpinan Pemuda UMNO itu sudah semestinya individu yang dekat di hati rakyat seperti mana pada PRK DUN Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.

“Di Nenggiri tiada siapa pun jangka kita boleh menang tapi bila kita berikan calon yang dekat di hati rakyat, calon yang buat kerja lama di situ dan memang orang tempatan maka daripada kalah 700 undi kita menang dengan majoriti 3,352 undi.

“Sama juga di Mahkota, apabila diletakkan calon yang betul daripada kita sebelum itu menang majoriti 5,000, Alhamdulillah PRK itu kita menang majoriti 20,648 undi,” katanya.

Katanya, meskipun tidak meletakkan jangkaan tinggi di Ayer Kuning, namun calon yang akan ditawarkan kepada rakyat itu sememangnya dekat di hati mereka serta dikenali ramai hasil tinjauan lapangan yang dilakukan Pemuda UMNO.

“Apatah lagi sudah tentu kita mempunyai cabaran yang sangat kuat, sangat hebat walaupun orang kata ini adalah kerusi yang kita menang tapi saya tidak pernah menganggap perkara itu perkara yang mudah untuk menang.

“Sudah tentu kali ini kita mungkin datang dengan strategi yang baru tapi strategi kita satu sahaja iaitu apabila kita sediakan calon, calon itu benar-benar boleh buat kerja dan menjadi pilihan orang Ayer Kuning nanti,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top