Kuching: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditemukan maut dengan kesan tetakan di dalam bilik sebuah apartmen di Jalan Sungai Tapang di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Padawan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata bilik gerakan telah menerima laporan tersebut kira-kira 4.40 pagi dan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah telah ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi kejadian, polis menemukan mangsa terbaring di dalam sebuah bilik di unit apartmen tersebut dengan kesan tetakan pada bahagian badan.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi.
“Susulan kes pembunuhan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Irwan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan, Asisten Superintendan Sylvarius Gopog di talian 013-863 7241.
© New Straits Times Press (M) Bhd