Pemuda autistik menang RM1 juta cabutan BSN SSP

Pemuda autistik menang RM1 juta cabutan BSN SSP

am@hmetro.com.my

Butterworth: Pemuda orang kurang upaya (OKU) autisme dari Nibong Tebal dekat sini, bagai mendapat durian runtuh apabila dinobat sebagai pemenang cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-109.

Bapanya, Hamdan Abdul Hamid, 69, berkata, dia dan isteri, Yuhani Abd Rahman, 71, mula membuka akaun dan menyimpan wang di BSN untuk Amirul Hakim Hamdan, 29, sejak anak istimewa mereka berusia 12 tahun dan langsung tidak pernah terfikir atau menyangka usaha itu akan membuahkan hasil lumayan.

“Jumlahnya tidak tetap setiap bulan, duit yang adik beradiknya bagi termasuk duit raya semuanya disimpan di situ. Kami juga anggap wang kemenangan ini sebagai payung yang Insya-Allah menjadi satu bentuk jaminan kepada masa depan anak saya.

“Anak saya Amirul ini tidak mengerti apa-apa jadi buat masa ini bagi saya biarlah wang kemenangan itu disimpan dalam akaunnya supaya boleh terus berkembang dalam bentuk dividen dan bila jadi ‘payung’ maknanya kalau berlaku musibah ‘cuaca mendung’ atau ‘hujan ribut’ boleh guna.

“Sebenarnya sebagai ibu bapa tidak kiralah sama ada kita ada anak OKU atau anak yang sempurna kita hanya mahu yang terbaik untuk masa depan mereka,” katanya selepas menerima replika cek RM1 juta yang disampaikan Pengarah Negeri BSN Pulau Pinang Amir Hamzah di sini, semalam.

Hamdan berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu tidak mempunyai kemampuan bertutur selain perlu dibantu menguruskan diri dan masih dihantar ke sekolah khas yang tidak menetapkan had usia bagi memenuhi keperluan sosial dan pendidikan insan OKU sepertinya.

Justeru, dia sangat terkejut dan sukar mempercayai apabila menerima panggilan telefon pada 1 Mac lalu memaklumkan keputusan cabutan itu sehingga perlu diyakinkan berkali-kali pegawai BSN dan selepas melihat sendiri nama anaknya terpampang pada laman web rasmi dan media sosial BSN barulah dirinya yakin pegawai yang menghubunginya bukan ‘scammer’.

Menurut Hamdan, dia terutamanya isteri bersyukur dikurniakan anak seperti Amirul dalam meniti usia emas mereka memandangkan anak-anaknya yang lain kebanyakannya sudah berkeluarga dan tinggal di luar Pulau Pinang selain mempunyai tanggungjawab terhadap kerjaya masing-masing.

“Saya rasa, apabila kita ada anak istimewa, kita beri perhatian, kasih sayang dan jangan sisihkan dia. Contohnya anak istimewa kami suka dibawa keluar berjalan-jalan jadi kita usaha bagi dia persekitaran dan tempat yang elok. Kita jaga amanah ini baik-baik.

“Memang agak untuk mencabar mengurus anak OKU terutama kepada emaknya yang sudah banyak berkorban kalau tidak kena gaya dia boleh mengamuk pukul atau cubit orang juga.

“Jadi perlu banyak bersabar, berdoa, sentiasa bertoleransi dan belajar memahami keperluan mereka.

“Amirul ini seperti berada dalam dunianya dia sendiri. Dia suka tengok buku-buku bergambar. Lagi tebal, lagi dia suka. Dia juga suka barangan penjagaan diri yang berbau wangi macam syampu kalau bawa ke pasar raya, rak barangan itulah tempat yang dituju,” kata datuk kepada 18 cucu itu.

Berkongsi mengenai ujian hidup, Hamdan pernah menjadi penjamin kepada seorang individu yang membuat pinjaman kewangan untuk memulakan perniagaan tetapi akhirnya dia sendiri terpaksa menanggung hutang mencecah RM30,000 sehingga dia diisytiharkan bankrap sekitar 80-an hingga 90-an.

Dia yang berkhidmat lebih 20 tahun di Jabatan Penerangan termasuk pernah bertugas di ibu kota mengakui amat tertekan apabila surat-surat tunggakan hutang individu terbabit dihantar ke alamat tempat tinggalnya ditambah dalam situasi semua anak masih bersekolah selain ada yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) ketika itu.

“Hidup tidak mudah apabila memegang status muflis. Tidur tak lena memikirkan hutang orang. Sampai satu masa, bayaran tersangkut saya dapat surat daripada Jabatan Insolvensi beritahu saya boleh dipenjarakan kalau tidak bayar tunggakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top